Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara (JAN) sedang dalam usaha memperkukuhkan kerjasama bagi memantapkan keberkesanan operasi dalam menangani isu semasa berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata kedua-dua agensi sentiasa memastikan operasi berjalan dengan lebih lancar dan sempurna, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap SPRM serta JAN.

Beliau berkata selama ini, SPRM memang mempunyai hubungan kerjasama yang rapat dengan JAN, antaranya menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dalam program pertukaran pegawai antara kedua-dua agensi.

"Dengan kerjasama yang terjalin ini, kami berharap ia dapat meningkatkan dan memantapkan keberkesanan operasi antara kedua-dua agensi dalam menghadapi sebarang bentuk cabaran dan kekangan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum itu, Dzulkifli menerima kunjungan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan rombongan di Ibu Pejabat SPRM di sini.

Rombongan JAN termasuk Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi) Datuk Mustafa Saman, Timbalan Ketua Audit Negara (Tadbir Urus) Datuk Che Isa Che Kob dan Pengarah Bahagian Sosial dan Keselamatan Sektor Audit Prestasi Datuk Juhari Haron.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil. - Bernama