Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berharap pihak polis dapat mempercepatkan siasatan berhubung rakaman audio yang dipercayai membabitkan beberapa individu termasuk bekas Perdana Menteri. Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Latheefa, setakat ini beliau berpuas hati dan gembira dengan komitmen polis dalam melengkapkan siasatan berhubung kes berpofil tinggi itu.

“Mereka (polis) sudah selesai mengambil keterangan saya, termasuk Azam (Timbalan Ketua Pengarah SPRM, Datuk Seri Mohd Azam Baki) dan lima anggota lain.

"Kami sangat gembira dengan kerjasama polis. Sangat efisyen dan pantas,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.

BACA: "You are the Prime Minister, you should take charge ..." - Audio rakaman dipercayai mirip suara Rosmah, Najib


BACA: "I have this personal request, Your Highness" - Audio rakaman dipercayai antara Najib dan Putera Mahkota UAE



Ditanya sekiranya ada anggota lain akan dipanggil bagi memberi keterangan, Latheefa berkata,beliau akan dimaklumkan oleh pihak polis sekiranya perlu berbuat demikian.

Pada Khamis, SPRM memaklumkan, Latheefa dan enam pegawai lain telah memberi keterangan antara pukul 2.45 petang hingga 6.30 petang.

Keterangan itu diambil berhubung pendedahan SPRM mengenai sembilan set rakaman audio perbualan, melibatkan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor serta bekas Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan beberapa individu berprofil tinggi lain.

Dalam pendedahan itu, SPRM turut menamakan 20 individu yang terbabit dalam isu berhubung 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).