JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan pasangan suami isteri dipercayai menerima rasuah bagi membolehkan calon lulus ujian berkomputer lesen memandu.

Menerusi sumber, suspek merupakan seorang pengurus pentadbiran dan seorang pengurus pemasaran sebuah pusat lesen memandu itu ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira jam 7 petang pada Isnin, bagi membantu siasatan.

Tambah sumber, suspek lelaki dan wanita masing-masing berusia 47 dan 43 tahun itu ditahan susulan penahanan tiga lagi suspek kerana menerima rasuah daripada calon ujian bahagian berkomputer lesen memandu pada Ahad.

Difahamkan, nilai sogokan antara RM400 hingga RM1,000 dibayar individu yang mahu lulus ujian memandu tanpa perlu menduduki ujian dan menghadiri kelas memandu.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Azmi turut mengingatkan setiap calon wajib menduduki ujian yang ditetapkan sebagai syarat mendapatkan lesen memandu dan mempelajari serta memahami peraturan dan undang-undang jalan raya.

"Syarikat mengendalikan ujian berkomputer juga perlu memastikan setiap calon yang menduduki ujian ini hadir, tidak diwakili mana-mana individu lain dan tiada jalan pintas dalam mendapatkan lesen memandu ini kerana ia melibatkan nyawa pengguna jalan raya lain," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebelum pada Isnin, SPRM dalam kenyataannya memaklumkan dua pegawai khidmat pelanggan di Rangkaian Interaktif Laman Elektronik Kerajaan (RILEK) Cawangan Kota Tinggi dan seorang kerani Pusat Lesen Memandu ditahan kerana menerima wang rasuah.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek perempuan berusia 23 hingga 34 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira jam 9 malam Ahad selepas satu operasi yang dijalankan hasil kerjasama sebuah syarikat konsesi untuk aplikasi utama kerajaan.

Difahamkan kesemua suspek dipercayai menerima wang rasuah daripada calon-calon peserta yang menghadiri ujian Bahagian 1 Berkomputer Lesen Memandu untuk membantu calon lulus dalam ujian tersebut. - Sinar Harian