ALOR SETAR: Pengirim surat layang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah diminta tampil menyalurkan maklumat secara terus kepada pegawai suruhanjaya itu bagi memastikan siasatan dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata ini kerana kebanyakan maklumat mengenai rasuah yang disalurkan kepada SPRM melalui surat itu kurang jelas dan menyukarkan pihaknya untuk mengambil tindakan lanjut.

"Kita galakkan orang yang membuat surat layang itu terus menyalurkan maklumat kepada pegawai kami.

"Boleh hubungi mana-mana pejabat SPRM di negeri ini dan buat janji temu tempat serta masa yang bersesuaian dan kemudian kita boleh bincang untuk terus dapat maklumat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi SPRM Kedah bersama rakan strategik termasuk pengamal media di sini hari ini.

Beliau berkata SPRM Kedah sememangnya kerap menerima surat layang dengan purata antara dua dan tiga surat setiap bulan.

"Macam hari ini saya dapat dua surat layang, pihak kami tidak mengabaikan surat layang ini tetapi kita perlu membuat semakan terperinci sebab kita tidak mahu hasil surat layang itu seolah-olah menganiaya pihak tertentu," katanya.

Shaharom Nizam berkata SPRM memberi jaminan mana-mana individu yang tampil menyalurkan maklumat berkaitan rasuah akan dirahsiakan identiti mereka dan tidak perlu bimbang mengenai keselamatan.

Sementara itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada pengamal media negeri ini yang banyak membantu SPRM dalam mempromosikan usaha mencegah rasuah.

"Kesan liputan di media massa sangat positif, ia memberi kefahaman perlunya sama-sama membanteras rasuah, kami dengan kekangan pegawai memerlukan bantuan daripada media untuk menyampaikan mesej kepada orang awam," katanya.

-- BERNAMA