MALAYSIA
SPRM N.Sembilan reman lima individu disyaki kemuka dokumen butiran palsu

SPRM Negeri Sembilan mereman tiga pengarah dan dua pengurus syarikat bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu untuk mendapatkan permit pekerja asing di negeri itu. - Foto hiasan/BERNAMA
SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan mereman tiga pengarah dan dua pengurus syarikat bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu untuk mendapatkan permit pekerja asing di negeri itu.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Fairuz Syuhada Amran terhadap dua suspek termasuk seorang wanita selama empat hari hingga 21 Jun ini manakala tiga lelaki lagi direman tujuh hari hingga 24 Jun.
Menurut sumber, kelima-lima suspek termasuk dua warga Bangladesh dan seorang warga Pakistan berusia lingkungan 30 hingga 50-an itu ditahan kira-kira 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.
"Kesemua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut sekitar 2023."Siasatan awal mendapati mereka mengemukakan dokumen permohonan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 kepada Jabatan Imigresen Negeri Sembilan yang disyaki mengandungi butir matan palsu untuk mendapatkan permit pekerja asing sedangkan pekerja asing berkenaan tidak bekerja dengan syarikat tersebut," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami