Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan pegawai kanannya terbabit dengan konspirasi menjatuhkan kerajaan.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, tindakan yang diambil oleh pegawainya adalah jelas bagi menjalankan menjalankan tugas mereka sebagai pegawai SPRM.

Pada masa sama, katanya mereka telah mendapat arahan dan dalam pengetahuan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

"Tanggungjawab SPRM adalah menjalankan siasatan berhubung kes-kes rasuah dan bukannya bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana pihak termasuk kerajaan.

"Sebagai suruhanjaya yang bebas, SPRM bertanggungjawab menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional tanpa fear or favour dan tanpa mengira siapa yang terlibat. SPRM tidak akan membiarkan mana-mana pihak untuk mempengaruhi atau campur tangan dalam siasatan yang dijalankan," katanya di sini, hari ini.

SPRM berkata, pihaknya menegaskan bahawa badan itu tidak terlibat dalam siasatan kes 1MDB sebaliknya hanya menyiasat kes SRC International Sdn Bhd.

Ia katanya adalah keputusan yang telah dicapai oleh Pasukan Petugas Khas, yang dianggotai oleh Gabenor Bank Negara, Polis Diraja Malaysia dan SPRM; yang menerima panduan serta nasihat perundangan daripada Tan Sri Abdul Gani Patail yang ketika itu Peguam Negara.

Dalam kes SRC International Sdn Bhd, tambahnya lagi sama ada dengan atau tanpa Pasukan Petugas Khas, selepas ketiadaan Tan Sri Abdul Gani, SPRM memberi jaminan bahawa siasatan ke atas SRC International akan diteruskan sehingga siasatan lengkap sepenuhnya sebelum dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk kajian dan keputusan.

Bagi melengkapkan siasatan SRC International Sdn Bhd, SPRM masih lagi mengesan beberapa saksi penting.

Semalam, lima panel bebas yang memantau SPRM mahu siasatan yang menyeluruh dikendalikan berhubung isu 1MDB.

Mereka menggesa hasil siasatan diumumkan kepada umum secepat mungkin bagi mengurangkan jurang persepsi serta keyakinan yang kini kian melebar.

Pengerusi lima panel bebas ini terdiri daripada Tan Sri Abu Zahar Ujang (Jawatankuasa Khas mengenai asuah), Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim (Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah), Tan Sri Hamid Bugo (Panel Penilaian Operasi), Tan Sri Wilson Baya Dandot (Jawatankuasa Aduan) dan Tan Sri Johan Jaaffar (Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah).