MALAYSIA
SPRM perkukuh proses pelupusan aset melalui kerjasama awam-swasta

SPRM terus memperkukuh usaha membanteras rasuah dengan memberi penekanan kepada pelucuthakan dan pelupusan aset hasil kegiatan jenayah, bagi memastikan ia dilaksanakan dengan penuh integriti dan berlandaskan kepentingan awam. - Gambar hiasan/BERNAMA
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh usaha membanteras rasuah dengan memberi penekanan kepada pelucuthakan dan pelupusan aset hasil kegiatan jenayah, bagi memastikan ia dilaksanakan dengan penuh integriti dan berlandaskan kepentingan awam.
Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM Norhaizam Muhammad berkata mekanisme kerjasama menyeluruh antara agensi penguat kuasa dan sektor swasta amat diperlukan bagi memastikan setiap tindakan selari dan berkesan.
"Kita ingin wujudkan satu ekosistem pengurusan aset yang bukan sahaja efisien, tetapi juga diyakini oleh masyarakat dan pasaran.
"Ini dibuktikan melalui kejayaan pelupusan mata wang kripto apabila SPRM dengan kerjasama Cyber Security Malaysia telah menjadi agensi pertama di Malaysia yang melupuskan mata wang kripto kepada kerajaan Malaysia," katanya dalam kenyataan bersempena dengan Program Public-Private Partnership (PPP): Sektor Pengurusan Aset, di Auditorium Ibu Pejabat SPRM di sini pada Isnin.Norhaizam berkata beliau yakin dengan pengalaman, kepakaran dan keterbukaan yang dibawa oleh semua pihak mampu menghasilkan perbincangan bermakna serta memberi nilai tambah dalam memperkemas proses serta pengendalian pelupusan aset dengan lebih berkesan.
Beliau berkata program berkenaan juga membuka ruang kerjasama yang lebih erat antara sektor awam dan swasta untuk bertukar pandangan, berkongsi pengalaman dan mencadangkan langkah praktikal dalam melancarkan proses pelupusan aset yang telah dilucuthak khususnya oleh SPRM.
Menurut Norhaizam, usaha itu juga selaras dengan Pelan Strategik Bahagian AML SPRM yang memberi keutamaan kepada kerjasama sektor swasta dan institusi pengajian tinggi memandangkan pengurusan aset merupakan bidang sensitif dan berisiko tinggi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami