KUALA LUMPUR: Usaha membanteras rasuah diperluaskan dengan penyampaian kini turut meliputi penggiat sektor pembinaan.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid dalam kenyataan hari ini berkata menerusi penganjuran Program Pemerkasaan Antirasuah, Ketelusan, Sahsiah dan Integriti (PAKSI), penggiat sektor pembinaan didedahkan tentang bahaya rasuah.
"Antara pengisian utama ialah ceramah integriti bertajuk 'Sepandai-pandai Sang Tupai... Akhirnya Jatuh Jua’. Bukan itu sahaja, kami turut menampilkan perkongsian kepada peserta berkaitan pengalaman, pengajaran daripada kes rasuah serta hukuman yang dikenakan," katanya.
Program PAKSI yang diadakan secara hibrid di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur, Hulu Terengganu baru-baru ini, dianjurkan secara bersama oleh SPRM Terengganu, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Terengganu, CIDB Technologies Sdn Bhd (CIDBTech) dan ABM Wilayah Timur.
Pada program itu, warga CIDB turut melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai aku janji menolak rasuah, selaras dengan inisiatif Keep Malaysia Clean (KMC) yang menekankan kepentingan membudayakan ketelusan dan integriti.
-- BERNAMA