Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan mengambil keterangan daripada Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot untuk membantu siasatan penyelewengan dana RM40 juta Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata pihaknya akan meneliti keterangan yang diambil daripada menteri berkenaan di Putrajaya dan setiausaha politiknya untuk membantu siasatan kes itu.

"Setakat hari ini kami hanya mengambil keterangan menteri berkenaan dan beliau tidak ditahan. Sekiranya perlu, kami akan panggil semula beliau untuk bantu siasatan," katanya kepada pemberita selepas hadir pada majlis perasmian mural pencegahan rasuah sempena Kembara Jelajah Antirasuah (KEJAR) 2017 SPRM.

Majlis itu dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di pejabat SPRM Perak di sini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan pihaknya akan mengambil keterangan daripada individu lain termasuk pegawai daripada Kementerian Sumber Manusia untuk membantu siasatan kes itu.

"Semestinya akan ada (pegawai) di kementerian dipanggil memberi keterangan kerana sesuatu kelulusan dokumen bukan melibatkan seorang, jadi kalau ada keperluan, kami akan panggil individu berkenaan untuk lengkapkan siasatan," katanya.

Dzulkifli berkata kertas siasatan akan dibuka selepas penelitian dibuat berdasarkan maklumat yang diterima daripada orang awam serta hasil risikan SPRM.

"Kami akan buat risikan bagi memastikan maklumat yang diterima mempunyai asas sebelum membuka kertas siasatan dan melakukan tangkapan," katanya.

Riot ke Ibu pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira 10.03 pagi tadi.

Semalam, setiausaha politik beliau ditahan reman enam hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana PTPK.

-- BERNAMA