PUTRAJAYA: Amalan tidak jujur iaitu rasuah dan salah guna kuasa yang sering berlaku menyebabkan ketirisan hingga membawa negara ini ke jurang kemusnahan.

Rasuah mempengaruhi sistem politik, ekonomi dan sosial negara ini serta menelan habis harapan rakyat dan mengorbankan masa depan generasi akan datang.

Penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang kemudiannya dijenamakan sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) kira-kira 56 tahun lalu memberi sinar baharu kepada seluruh rakyat negara ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu bersesuaian dengan perubahan semasa, agensi berkenaan turut berevolusi dengan mengambil pendekatan yang lebih profesional.

"Apabila saya memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya pada 9 Mac 2020 hingga sekarang, perkara yang penting saya tekankan ialah tentang profesionalisme SPRM.

“Ia merangkumi semua aktiviti berkenaan SPRM baik operasi, pencegahan dan juga pendidikan masyarakat.

“Sekiranya kita menjalankan operasi, apakah bentuk pendekatan yang mahu kita gunakan.

“Dengan kerjasama dari pegawai-pegawai SPRM pendekatan baharu dapat dilaksanakan,” katanya.

[TERKINI] Ulangtahun 56 Tahun SPRM: Berusaha tangani ketirisan negara

Jelas beliau, sejak memegang jawatan nombor satu SPRM, kaedah-kaedah baharu dalam penyiasatan telah digarap bagi memastikan rasuah dapat ditentang habis-habisan.

Azam juga menjelaskan, adalah menjadi tanggungjawab SPRM untuk membantu mengurangkan ketirisan yang dialami kerajaan.

"Adalah menjadi tanggungjawab SPRM untuk membantu negara ini untuk menambah pendapatan dan untuk memeriahkan ekonomi.

“Kami di SPRM, kita mahu negara kita dilihat sebagai sebuah negara yang bebas rasuah dan tidak bertolak ansur terhadap rasuah," katanya lagi.

Harapan rakyat Malaysia terhadap pengekangan rasuah adalah cahaya yang terus menyala di tengah-tengah kegelapan.

Mereka berharap untuk melihat sistem hukum yang adil, pemimpin yang jujur, dan sebuah negara yang berdiri tegak di atas nilai-nilai integriti.