Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti laporan berita luar negara yang mendakwa pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA) terlibat dalam penipuan pembelian hartanah di Melbourne.

Menurut sumber, pihak SPRM akan meneliti laporan media berkenaan dan akan mengambil tindakan selanjutnya sekiranya terdapat unsur rasuah seperti yang dilaporkan.

"Setelah segala maklumat awal dikumpulkan dan terbukti adanya unsur rasuah, baharulah kita ambil tindakan mengikut Akta SPRM," katanya ketika dihubungi Bernama, pada Selasa.

Akhbar Australia The Age melaporkan seorang pegawai tinggi MARA, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan jutaan ringgit dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dalam penipuan hartanah.

Akhbar itu mendakwa "sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya" terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandaraya itu pada 2013.

Ketiga-tiga pegawai itu didakwa "membida lebih tinggi" bagi bangunan itu dikenali 'Dudley International House", daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air.

BACA: MARA bakal jawab dakwaan tipu beli hartanah pada Selasa

Dudley International House merupakan asrama pelajar, dibeli oleh MARA yang menyediakan biasiswa bagi pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di luar negara.

Bangunan Dudley International House setinggi lima tingkat di subbandar East Caulfield menempatkan 115 pelajar MARA di Monash University.