KLANG: Tiga lelaki hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan berkelakuan tidak senonoh di dalam balai polis di Meru, Klang pada Isnin lepas.
A. Magendran, 44, dan B. Kalairasan, 38, kedua-duanya pemandu lori, serta seorang kelindan, iaitu P. Gopinath, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nor Azilah Mat.
Advertisement
Mengikut pertuduhan, mereka telah membuat bising dan bergaduh dalam bangunan polis yang boleh dihukum di bawah Seksyen 94 Akta Polis 1967 Penalti Am yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM500 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mereka juga didakwa mencederakan seorang lelaki berusia 29 tahun menggunakan topi keledar dan batang besi.
Jika sabit kesalahan, ketiga-tiga lelaki boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Kalairasan turut berdepan pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan televisyen di Balai Polis Meru sehingga menyebabkan kerugian mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Gopinath juga didakwa mengeluarkan ugutan jenayah terhadap seorang lelaki berusia 24 tahun mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-keduanya.
Mereka didakwa melakukan semua perbuatan itu di Balai Polis Meru di sini pada 9.47 malam 2 Mac lepas.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Salman Alfarisi Nawawi dan Ahmad Sulfie Abu Hassan manakala kesemua tertuduh diwakili peguam A. Biranta.
Mahkamah membenarkan Kalairasan dan Gopinath masing-masing diikat jamin sebanyak RM13,000 manakala Magendran sebanyak RM9,000.
Mereka juga diperintah melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran dan mahkamah menetapkan 25 Mei untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA