SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mempertimbangkan cadangan bagi menempatkan pegawai suruhanjaya itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang sebagai langkah mengekang kegiatan rasuah di pintu masuk utama negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan mengkaji sejauh mana kepentingan menempatkan pegawainya di lapangan terbang.

"Cadangan itu akan dipertimbangkan dan akan dikaji sejauh mana kepentingan perkara itu.

"Ia akan dipertimbang keperluannya bergantung kepada kekuatan serta keanggotaan jumlah pegawai yang ada," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.



Pada Khamis, Sinar Harian menerusi laporan muka depan melaporkan kerajaan didesak supaya segera menempatkan pegawai SPRM di KLIA bagi mengelakkan kegiatan rasuah berleluasa dalam kalangan penguat kuasa.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, kehadiran pegawai SPRM sama ada secara disedari atau tidak, akan menjadikan mereka lebih berhati-hati dan menjaga integriti sebagai ‘penjaga’ pintu masuk negara.

Sebelum itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menghalang SPRM meneruskan siasatan berhubung dakwaan berlaku rasuah membabitkan Jabatan Imigresen di pintu masuk KLIA.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementerian itu akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM untuk melengkapkan proses siasatan yang diperlukan.

Jun lalu, tular di media sosial kekecohan di KLIA apabila Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing didakwa menceroboh masuk dewan ketibaan antarabangsa selepas seorang pelawat China tidak dibenarkan masuk ke negara ini oleh pihak imigresen.

Menteri berkenaan kemudian mendakwa ada 'budaya rasuah' membabitkan pegawai imigresen dalam mengurus proses ketibaan warga asing di KLIA. -- Sinar Harian