PUTRAJAYA: Peguam mewakili Datuk Seri Najib Razak sekali lagi diingatkan supaya tidak mengulangi hujahan sama dalam prosiding pendengaran rayuan bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Rayuan di sini, pada Rabu.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil mengingatkan peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili Najib bahawa pihak pembelaan dijadualkan untuk menyelesaikan hujahan hari ini.

"Kami mendengar hujah yang sama berulang kali, kamu sudah mengemukakan hujah ini dalam rayuan pembelaan yang lalu dan sekarang sudah masuk hujah balas (pembelaan).

"Buat sesuatu yang boleh 'lekat' pada minda bukannya yang 'hilang' dari minda kita," katanya ketika mendengar rayuan Najib atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC) di sini, pada Rabu.


Niaga AWANI: Rayuan bekas Perdana Menteri DS Najib berhubung kes SRC International

BACA: Kes rayuan SRC International Najib masuk hari ke-14

Turut bersidang pada pendengaran itu, hakim Datuk Has Zanah Mehat and Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Abdul Karim turut memberitahu, kebanyakan hujah Harvinderjit itu sudah dikemukakan ketua peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada prosiding sebelah pagi.

Prosiding yang sepatutnya selesai hari ini, bagaimanapun disambung satu hari lagi, iaitu pada 6 Mei depan selepas barisan pembelaan memohon masa tambahan.

Najib mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara ke atas beliau berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.