PUTRAJAYA: Pendengaran permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan akhir melibatkan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd bersambung hari ini, di Mahkamah Persekutuan di sini.

Bukti baharu yang cuba dimasukkan dalam rayuan tersebut membabitkan penglibatan keluarga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang dikatakan bersekongkol dengan Jho Low atau Low Taek Jho bagi memudahkan ahli perniagaan dalam buruan itu untuk menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International.

Ahli Parlimen Pekan itu dilihat tiba di Istana Kehakiman pada jam 9.26 pagi bagi mengikut prosiding hari terakhir bagi permohonan rayuan terbabit di hadapan sidang lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Selain beliau, empat lagi ahli panel adalah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf, Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh.

Prosiding yang memasuki hari kedua hari ini akan menyaksikan peguam Najib, Harvinder Singh Sidhu mengemukakan hujah balas.

Semalam Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram dalam hujahnya memberitahu mahkamah bahawa tiada perkaitan bukti antara dana yang diterima oleh Datuk Dr Tawfiq Ayman iaitu suami kepada Zeti daripada 1MDB pada 2008 dengan wang SRC International yang dimasukkan ke akaun bank Najib.

Beliau memberitahu, SRC International  tidak wujud ketika Tawfiq menerima wang daripada dana kekayaan negara itu pada 2008.

Pada 8 Disember lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.

Sehari sebelum itu, mahkamah sama menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuan kes penyelewengan dana tersebut atas alasan tiada keadaan istimewa yang membolehkan keterangan baharu itu diterima.

QC ialah peguam kanan dan berpengalaman dari United Kingdom (UK) yang diberikan tauliah khas oleh Ratu Elizabeth.

Pada 25 Januari lalu, Najib melalui peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam sepucuk surat dialamatkan kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara memohon dibenarkan untuk diwakili seorang Queen's Counsel (QC).

Permohonan itu dibuat atas alasan QC mempunyai kepakaran untuk menasihati dan berpengalaman mengendalikan rayuan akhir Najib Razak yang dikatakan sangat kompleks membabitkan isu dan persoalan perundangan baharu bukan sahaja di bidang kuasa negara ini, malah di negara Komanwel.

Mahkamah Persekutuan dijangka mendengar permohonan Najib untuk menerima masuk QC antara 20 dan 24 Jun ini.

Mahkamah Persekutuan juga sebelum ini menolak permohonan Najib untuk menangguhkan prosiding rayuan berkaitan bukti baharu dalam usahanya untuk mengetepikan sabitan kes melibatkan dana SRC International, yang dijadualkan pada 15 Mac dan 16 Mac ini (hari ini).