Ringkasan AI
- UniSZA menyatakan kesediaan menerajui penubuhan Darul Hadis di Malaysia seperti dicadangkan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.
- Universiti ini telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk pendigitalan hampir 6,000 manuskrip Melayu dan pembangunan ekosistem pendidikan tahfiz holistik.
- UniSZA berhasrat memperkukuh kerjasama institusi pondok, pesantren dan universiti serta memperluas pengajian hadis ke peringkat antarabangsa.
KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersedia menggembleng kekuatan akademik, kepakaran penyelidikan dan jaringan strategik yang dimiliki bagi merealisasikan penubuhan Darul Hadis di Malaysia seperti yang dicadangkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Naib Canselornya Prof Datuk Fadzli Adam berkata saranan itu membuka peluang strategik untuk universiti memainkan peranan lebih signifikan dalam memartabatkan pengajian al-Quran dan hadis, sekali gus memperkukuh kedudukan sebagai hab keilmuan Islam di rantau Nusantara.
Beliau berkata cadangan penubuhan Darul Hadis merupakan inisiatif strategik dalam melengkapi ekosistem pendidikan Islam negara, khususnya dalam memelihara kesahihan sumber ilmu agama menerusi tradisi talaqqi, sama’ hadis, pengajian bersanad dan adab berguru, seiring perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan media sosial.
"Kesediaan UniSZA untuk menjayakan agenda tersebut turut disokong oleh pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan dalam memelihara khazanah keilmuan Islam dan memperkasa pendidikan al-Quran.
"Antaranya usaha pemeliharaan dan pendigitalan manuskrip Melayu menerusi Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) dan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) yang sehingga kini berjaya mendigitalkan hampir 6,000 naskhah manuskrip Melayu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Terdahulu, Ahmad Zahid ketika merasmikan Majlis Sama’ Hadis Kitab Riyadh Al-Salihin Bersama Sheikh Profesor Ali Muhyiddin Al-Qaradaghi dan Program Ijtimak Pondok Pesantren Nusantara-UniSZA di UniSZA pagi Ahad menyatakan hasrat untuk menubuhkan Darul Hadis di Malaysia.
Beliau turut melihat potensi UniSZA untuk menerajui penubuhan Darul Hadis berdasarkan kekuatan dan kepakaran universiti dalam bidang pengajian Islam, selain keupayaannya menghubungkan tradisi pendidikan pondok dengan sistem pendidikan tinggi moden.
Selain itu, Fadzli berkata dalam aspek pemerkasaan pendidikan tahfiz pula, UniSZA telah membangunkan ekosistem pendidikan yang merangkumi laluan kemasukan pelajar dari aliran tahfiz ke universiti melalui penawaran Program Asasi Sains Tahfiz, iaitu program hafazan Al-Quran Tis'a untuk kanak-kanak seawal usia tiga tahun.
Beliau berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen UniSZA dalam membangunkan ekosistem pendidikan al-Quran secara holistik iaitu bermula dari pendidikan awal kanak-kanak hingga ke peringkat pengajian tinggi, sekali gus melahirkan generasi huffaz yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
"Keupayaan UniSZA dalam memanfaatkan teknologi digital bagi melestarikan warisan Melayu-Islam, di samping menyediakan asas kukuh untuk memperluas penyelidikan, dokumentasi dan akses terhadap khazanah ilmu turath yang termasuk dalam pengajian hadis sudah terbukti.
"Kedua-dua inisiatif ini menjadi landasan penting kepada UniSZA dalam merealisasikan aspirasi penubuhan Darul Hadis serta memperkukuh peranannya sebagai pusat rujukan pengajian al-Quran, hadis dan khazanah turath Islam di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya.
Dalam pada itu, Fadzli berkata UniSZA juga berhasrat memperkukuh sinergi antara institusi pondok, pesantren dan universiti melalui pengajian kitab turath, pertukaran tenaga pengajar, penerbitan serta pendigitalan khazanah keilmuan Islam.
Beliau berkata dalam usaha mengangkat penganjuran Majlis Sama’ Hadis ke peringkat lebih tinggi pada masa hadapan pula, UniSZA berhasrat memperluas penyertaan ulama muktabar antarabangsa, institusi pengajian tinggi, sekolah pondok dan cendekiawan Islam dari pelbagai negara.
Penganjuran program itu, katanya berpotensi dikembangkan sebagai platform keilmuan antarabangsa yang lebih menyeluruh, merangkumi pengajian hadis bersanad, persidangan ilmiah, penyelidikan kolaboratif serta pembangunan jaringan kepakaran dalam bidang pengajian hadis dan turath Islam.
"Berbekalkan kekuatan akademik, kepakaran penyelidikan, pencapaian dalam pendigitalan khazanah warisan serta ekosistem pendidikan yang telah dibangunkan, UniSZA berada pada landasan strategik untuk menerajui agenda pemerkasaan keilmuan Islam negara," katanya.
-- BERNAMA