MIRI: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas membidas dakwaan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut, Leslie Ting Siong Ngiap bahawa usaha kerajaan negeri mendapatkan semula hak autonomi Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih belum mencukupi.
Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, sekurang-kurangnya 13 perkara berkaitan perjanjian itu sudah berjaya diselesaikan.
Beliau berkata, usaha mendapatkan semula hak Sarawak memerlukan masa, namun kerajaan negeri akan terus berusaha memastikan hak yang sepatutnya menjadi milik negeri itu dikembalikan.
“Dia boleh cakap suka hati dialah, yang bekerja kita.
“Dah banyak pencapaian, kalau saya tidak silap, sekurang-kurangnya 13 isu telah selesai termasuk termasuk berkaitan ‘Port Authority’, itu bukan mudah.
“Tetapi oleh kerana kita memang komited, GPS sebagai satu parti yang menjaga Sarawak, terus mengenal pasti hak yang sepatutnya menjadi milik negeri ini.
“Ini kadang-kadang mengambil masa tetapi yang penting usaha kita ambil adalah berkesan kerana bercakap senang tetapi berusaha itu cerita lainlah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera Kempen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Pengenalan Calon Telang Usan dan Mulu di Miri, malam tadi.
Dalam pada itu, mengulas kemenangan tanpa bertanding GPS di 29 kerusi DUN pada hari penamaan calon, Uggah merakamkan penghargaan kepada pengundi di kawasan berkenaan atas keyakinan yang diberikan kepada gabungan itu.
Katanya, tumpuan GPS ketika ini adalah memastikan kemenangan di baki kerusi yang masih dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Sebagai konteks, Leslie ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini mendakwa usaha menuntut semula hak Sarawak daripada Kerajaan Persekutuan masih belum mencukupi meskipun beberapa siri perbincangan sudah diadakan menerusi Jawatankuasa MA63.
Beliau turut mempersoalkan sejauh mana majoriti GPS di DUN dimanfaatkan untuk mempercepatkan usaha mendapatkan semula hak autonomi negeri, khususnya dalam bidang pendidikan dan petroleum.
“Pada pandangan saya, apa yang telah dilakukan oleh GPS tidak cukup. Ada pertemuan antara kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan menerusi Jawatankuasa MA63 untuk membincangkan perkara yang perlu dikembalikan kepada Sarawak.
"Tetapi walaupun beberapa kali pertemuan sudah diadakan, hak Sarawak masih belum dikembalikan. Seperti autonomi, pendidikan dan pendidikan, semuanya masih dikawal oleh Kuala Lumpur. Sebab itulah kami tidak berpuas hati.
“Terutamanya Akta Pembangunan Petroleum 1974. Saya tahu GPS kadang-kadang mengatakan mereka tidak berpuas hati dengan akta ini, tetapi mereka masih bersetuju supaya ia berjalan pada masa yang sama dengan Ordinan Minyak Sarawak. Jadi, perkara itu tidak masuk akal,” katanya.
Mengulas peranan PBK sekiranya diberikan mandat pada PRN Sarawak ke-13, Leslie berkata parti itu berhasrat menjadi kuasa semak dan imbang serta menggerakkan usaha bagi memastikan kepentingan Sarawak terus diperjuangkan dalam pentadbiran negeri.
Beliau berkata, PBK merupakan parti tempatan Sarawak yang tidak mempunyai kaitan dengan parti dari Semenanjung atau GPS.
Untuk rekod, DUN Pujut menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada PRN kali ini membabitkan Adam Yii Siew Sang (GPS), Voon Kai Foo (DAP) dan Leslie (PBK).