KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tenaga (ST) sedang membangunkan kerangka dan garis panduan menyeluruh mengenai kemudahan penjanaan elektrik sendiri serta penggunaan tenaga boleh baharu bagi sektor pusat data.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, usaha itu selaras dengan keputusan kerajaan menetapkan penggunaan sekurang-kurangnya 30 peratus tenaga boleh baharu bagi sektor berkenaan.
Beliau berkata, industri pusat data turut digalakkan membangunkan kemudahan penjanaan sendiri melalui inisiatif solar untuk kegunaan sendiri bagi mengelakkan peningkatan kos bekalan elektrik kepada pengguna lain.
“Pendekatan ini bertujuan meningkatkan penggunaan tenaga yang dijana sendiri oleh sektor pusat data di samping mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada bekalan elektrik daripada grid nasional.
“Di samping itu, pusat data perlu dilengkapi dengan backup generator yang boleh dimanfaatkan bagi tujuan kawalan permintaan, khususnya untuk mengurangkan tekanan tambahan kepada sistem grid semasa tempoh kritikal dan ketika rizab operasi berada pada paras rendah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai pelan kontingensi kerajaan bagi memastikan operasi pusat data tidak menjejaskan bekalan elektrik dan air rakyat ketika kemarau atau gangguan bekalan.
Fadillah berkata, pusat data turut digalakkan menyertai Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) bagi mendapatkan bekalan tenaga hijau secara langsung.
Beliau berkata, setiap permohonan bekalan elektrik bagi pembangunan pusat data melalui penilaian teknikal menyeluruh oleh Energy Focus Group (EFG) sebelum dibawa ke peringkat Data Centre Task Force (DCTF), dengan mengambil kira keupayaan sistem membekalkan tenaga, rangkaian penghantaran dan pengagihan elektrik serta keperluan pelaburan infrastruktur.
Dalam pada itu, Fadillah berkata, hingga Ogos 2026, permintaan elektrik pusat data yang dikontrakkan berjumlah 2,346 megawatt (MW), manakala penggunaan sebenar 1,374 MW atau 58.5 peratus.
Beliau berkata, keadaan itu berlaku kerana anggaran keperluan elektrik yang dikemukakan ketika permohonan kontrak bekalan tidak semestinya menyamai penggunaan sebenar.
Menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal berhubung penggunaan tenaga nuklear, Fadillah berkata, penggunaannya sebagai antara sumber tenaga negara masih dalam pertimbangan kerajaan, dengan kesiapsiagaan negara menjadi keutamaan bagi menjamin bekalan tenaga dan keselamatan rakyat.
Beliau berkata, perkara berkaitan perjanjian antarabangsa perlu diselesaikan terlebih dahulu, selain memastikan pematuhan terhadap piawaian Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), aspek kawal selia keselamatan, keupayaan tenaga kerja dan kesesuaian teknologi.
-- BERNAMA