RANAU: Pemasangan peranti Starlink di Kampung Langsat di sini mampu memberi manfaat kepada 500 penduduk dengan memberikan akses kepada internet kelajuan tinggi lebih 200 mbps, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata pemasangan peranti menerusi Projek Proof of Concept (PoC) itu adalah penyelesaian sementara bagi memenuhi keperluan akses internet untuk penduduk di kawasan itu sementara menantikan pembinaan menara telekomunikasi menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) siap kelak.

Katanya peranti Starlink di Kampung Langsat itu dipasang pada 7 Sept lepas dan merupakan pemasangan kedua di Sabah selepas pemasangan peranti sama di Keningau pada 5 Sept.

"Pemasangan Starlink di kampung ini sedikit berbeza dengan pemasangan di tempat lain di atas bumbung... di sini ia dipasang di bahagian bangunan bagi pastikan pemasangan kukuh," katanya kepada pemberita selepas meninjau pemasangan itu di sini hari ini.

Mengulas mengenai menara telekomunikasi Kampung Langsat, Fahmi berkata pembinaan menara itu didapati lewat daripada jadual asal dan pihaknya sedang berusaha memastikan menara itu siap dalam tempoh terdekat bagi memenuhi keperluan rakyat di kawasan itu.

"Esok saya ada pertemuan dengan Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) kita bincangkan juga perkara ini dan usaha kita penuhi keperluan telekomunikasi di Sabah dengan kerajaan negeri," katanya.

Sementara itu Ketua Kampung Langsat Paimin Abdullah, 71, berkata kemudahan internet berkelajuan tinggi menerusi peranti Starlink itu memberikan banyak manfaat buat penduduk terutama generasi muda yang menggunakannya untuk menimba ilmu dan melakukan kerja-kerja sekolah.

"Sini paling susah dapat internet, sekarang ada internet sudah mudah untuk komunikasi terutama dengan keluarga duduk di luar kampung. Harapan saya supaya kawasan liputan internet Starlink ini juga diluaskan, bagus sekarang tetapi kawasan liputan Wifi kita minta luaskan," katanya.

-- BERNAMA