KUANTAN: Statistik bilangan kes baharu HIV di Pahang menunjukkan penurunan drastik iaitu sebanyak 70 peratus dalam tempoh 20 tahun, kata Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Nor Azimi Yunus.

Beliau berkata sebanyak 124 kes HIV dicatatkan setakat September lepas berbanding 474 kes pada 2001 selain penurunan juga direkodkan bagi jumlah mereka yang dijangkiti menerusi suntikan dadah.

"Peratusan jangkitan dalam kalangan mereka yang menyuntik dadah menurun daripada 84.5 peratus iaitu 464 kes pada 2006 kepada 12.9 peratus atau 16 kes setakat September tahun ini.

"Sehingga kini, sebanyak 71 peratus kes HIV baharu di Pahang juga adalah mereka yang berumur dalam 20 hingga 40 tahun," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, penurunan statistik kes baharu itu ekoran kejayaan pelaksanaan pelbagai aktiviti pencegahan, kawalan dan rawatan HIV/AIDS yang telah dijalankan sejak penyakit itu dikesan di Pahang pada 1989.

Ini termasuk pelaksanaan program pengurangan kemudaratan sejak 2006 dengan kerjasamapelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan khususnya Majlis AIDS Malaysia yang berjaya mengurangkan jangkitan dalam kalangan mereka yang menyuntik dadah.

Selain itu, Dr Nor Azimi berharap masyarakat dapat membuang stigma kepada pesakit AIDS atau HIV kerana masih ada pesakit ini berdepan diskriminasi termasuk oleh kaum keluarga sendiri atau di tempat kerja.

"Isu ini juga tidak terkecuali berlaku dalam persekitaran penjagaan kesihatan yang sepatutnya berfungsi dalam memberikan rawatan, penjagaan dan sokongan kepada golongan penghidap HIV/AIDS.

"Hal ini turut menyumbang kepada faktor utama yang menghalang golongan berisiko untuk tampilmenjalani ujian dan rawatan walaupun disediakan secara percuma di fasiliti kesihatan kerajaan," katanya.

-- BERNAMA