PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak rayuan seorang wanita berusia 37 tahun bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan status agamanya sebagai Islam.

Panel tiga hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Abu Bakar Jais menolak rayuan wanita itu dalam keputusan majoriti 2-1.

Abang Iskandar dan Abu Bakar menolak rayuan wanita itu manakala Lim membuat keputusan yang memihak kepadanya.

Dalam penghakiman majoriti yang disampaikan secara dalam talian, Abang Iskandar berkata kes wanita itu tidak terjumlah dalam kategori beliau tidak pernah beragama Islam.

Lim pula memutuskan wanita itu bukanlah seorang penganut Islam kerana pertukaran agama sebelah pihak yang dilakukan oleh ibunya adalah tidak sah di sisi undang-undang.

Wanita itu berkata dia dilahirkan sebagai seorang Hindu kepada ibu bapa bukan Islam dan masih kecil ketika ibunya bertindak mengislamkannya pada 1991 manakala bapanya meninggal dunia pada 1996.

Ibunya telah berkahwin dengan seorang lelaki Islam selepas bercerai dengan bapa wanita itu.

Wanita itu mendakwa walaupun memeluk agama Islam, ibu dan bapa tirinya membenarkan dia terus mengamalkan kepercayaan Hindu iaitu agama yang dianuti sejak dilahirkan.

Pada 12 Dis 2013, wanita itu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa dia tidak lagi beragama Islam.

Bagaimanapun pada 20 Julai 2017, Mahkamah Tinggi Syariah menolak samannya. Mahkamah Rayuan Syariah juga menolak rayuannya pada 1 Ogos 2017.

Selepas gagal di Mahkamah Syariah, wanita itu kemudian memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam dan berjaya mendapat pengisytiharan bahawa beliau bukan beragama Islam.

Bagaimanapun, keputusan itu diketepikan oleh Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan MAIS dan Kerajaan Negeri Selangor.

Pada 23 Mei tahun lepas, wanita itu kemudian mendapat kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan dan membangkitkan enam persoalan undang-undang yang perlu diputuskan oleh mahkamah.

Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar, A.Surendra Ananth dan Wong Ming Yen mewakili wanita itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Majdah Muda bertindak bagi pihak Majlis Agama Islam Selangor manakala Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor Datuk Salim Soib@Hamid dan Pembantu Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor Khairul Nizam Abu Bakar hadir bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor.

-- BERNAMA