ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) memohon kerjasama operator stesen minyak untuk bertanggungjawab jika dakwaan wujud bahan asing bercampur dengan minyak RON95 yang diisi di stesen mereka sehingga menjejaskan kenderaan itu terbukti benar.
Presiden CAKE Mohamad Yusrizal Yusoff berkata pihaknya mengambil maklum mengenai berita yang tular di media sosial mengenai dakwaan kerosakan kenderaan selepas mengisi RON95 di beberapa stesen minyak di negeri ini yang didakwa bercampur dengan air.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah juga mengeluarkan kenyataan bahawa pihak mereka telah melakukan pemeriksaan di 11 stesen minyak di beberapa lokasi berlainan dan mengambil sampel tersebut untuk dianalisa.
“CAKE menghargai tindakan pantas KPDN terhadap aduan pengguna dan kita berharap keputusan analisa itu dapat dipercepat dan dimaklumkan kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya bagaimanapun, tindakan terhadap stesen minyak yang didapati terlibat juga perlu diambil, jika terbukti dakwaan itu benar, supaya dapat menjadi pengajaran kepada stesen-stesen minyak lain supaya lebih berhati-hati dalam pengurusan bahan api itu.
“Pihak stesen minyak perlu bertanggungjawab terhadap kerugian yang dialami oleh pengguna dan ini bukan kali pertama kejadian seperti ini berlaku. CAKE mendapati isu itu pernah tiga tahun lepas lagi.
“Kerosakan yang dialami akan melibatkan enjin kenderaan dan kos pembaikannya adalah sangat tinggi,” katanya.
Semalam, KPDN Kedah dilaporkan telah menjalankan pemeriksaan terhadap 11 stesen minyak di beberapa daerah di negeri ini, susulan aduan dan perkongsian di media sosial berhubung dakwaan bahan api petrol yang disyaki bercampur air telah menyebabkan kerosakan kepada kenderaan.
KPDN berkata hasil pemeriksaan awal mendapati tiada petunjuk kehadiran air dalam tangki simpanan bahan api yang diperiksa, namun tidak boleh dianggap sebagai keputusan muktamad, dan sampel berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisa.
-- BERNAMA