KUCHING: Stesen solar hibrid di Long San, sebuah kawasan penempatan terletak 221 kilometer dari bandar utara Sarawak, Miri, merupakan satu lagi bukti usaha kerajaan negeri ke arah mencapai elektrifikasi penuh menjelang 2025, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata stesen itu akan memenuhi keperluan kepada tenaga boleh diperbaharui yang semakin meningkat dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api diesel.

Ia juga membolehkan perkhidmatan asas seperti fasiliti penjagaan kesihatan dan pendidikan di kawasan pedalaman di negeri ini seperti Long San beroperasi dengan lancar, katanya.

"Kami akan terus mengambil langkah untuk merapatkan jurang antara komuniti luar bandar dan bandar... dengan memanfaatkan inisiatif sedia ada seperti Skim Elektrifikasi Luar Bandar (RES) dan Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) untuk membekalkan tenaga elektrik murah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis merasmikan penyerahan stesen itu daripada Shanghai Electric Power Transmission and Distribution Group of China (Shanghai Electric) kepada syarikat milik kerajaan negeri, Sarawak Energy Berhad (SEB).

Pada majlis itu, Abang Johari menyaksikan Naib Presiden Shanghai Electric Yang Xing Hai menyerahkan sijil siap projek kepada Ketua Pegawai Eksekutif SEB Datuk Sharbini Suhaili.

Turut hadir Presiden Shanghai Electric Xiao Wei Hua, Konsul Jeneral China di Kuching Xing Weiping dan Pengerusi SEB Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi.

Shanghai Electric menyumbang stesen solar hibrid itu yang mula dibina pada Januari 2021 dan siap pada April 2022.

Sementara itu, Abdul Hamed berkata sumbangan stesen solar hibrid bernilai RM10 juta daripada Shanghai Electric merupakan usaha perkongsian teknologi dan pemindahan kemahiran teknikal kepada Sarawak sebagai tanda muhibah.

Beliau berkata Stesen Solar Hibrid Long San adalah stesen solar hibrid pertama di Sarawak menggunakan bateri ion litium termaju dan sistem pengurusan tenaga untuk mengoptimumkan penjanaan tenaga dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api diesel yang mahal.

-- BERNAMA