KUALA LUMPUR: Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 mula disalurkan secara berperingkat hari ini kepada 5.3 juta penerima di seluruh negara, meningkat sebanyak 300,000 penerima berbanding lima juta penerima pada awal tahun.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan Kerajaan MADANI memperuntukkan RM1.2 bilion bagi pembayaran STR Fasa 3, dengan 3.9 juta penerima terdiri daripada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana rendah, manakala 1.4 juta lagi merupakan warga emas tiada pasangan.
Menurut kementerian itu, bagi Fasa 3, penerima akan menerima bayaran antara RM150 hingga RM600 bergantung kepada pendapatan dan bilangan anak, sementara warga emas tiada pasangan akan menerima RM150.
"Jumlah keseluruhan STR yang telah disalurkan bagi tiga fasa tahun 2026 mencecah RM3.6 bilion," menurut kenyataan itu.
MOF berkata bergantung kepada kategori kelayakan, penerima boleh menerima bantuan sehingga RM3,300 secara terkumpul setakat Ogos 2026 menerusi STR Fasa 1 hingga Fasa 3 serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan.
Menurut kenyataan itu, jumlah berkenaan tidak termasuk pemberian secara sekali beri (one-off) SARA untuk Semua kepada seluruh warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas.
Kementerian turut menjelaskan, mulai tahun 2026, bantuan kepada rakyat telah distrukturkan supaya sokongan diterima secara lebih teratur sepanjang tahun, dengan STR disalurkan secara suku tahunan manakala SARA menyediakan bantuan asas secara bulanan kepada penerima yang layak.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam keadaan kos sara hidup masih menjadi cabaran kepada sebahagian rakyat, kerajaan akan terus memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan.
"Sebab itu jumlah isi rumah yang menerima STR meningkat daripada 3.7 juta pada awal tahun kepada 3.9 juta bagi Fasa 3.
"STR dan SARA membantu meringankan keperluan rakyat hari ini, sementara Kerajaan terus melaksanakan reformasi dan memperkukuh ekonomi bagi meningkatkan pendapatan serta taraf hidup rakyat. Matlamat kita bukan sekadar memberi bantuan, tetapi memastikan kehidupan rakyat bertambah baik," katanya.
Menurut MOF, penstrukturan semula kewangan kerajaan serta penambahbaikan tatakelola telah membolehkan lebih banyak hasil negara disalurkan kepada rakyat yang memerlukan.
Katanya, peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi tahun 2026 berjumlah RM15 bilion, tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan dan hampir tiga kali ganda berbanding pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada tahun 2016.
Sementara itu, bagi urusan pembayaran, penerima yang mempunyai akaun bank akan menerima bayaran STR Fasa 3 melalui pengkreditan terus ke akaun masing-masing mulai hari ini, manakala penerima yang tidak mempunyai akaun bank boleh menunaikan bayaran di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara.
Dalam pada itu, MOF memaklumkan permohonan baharu dan rayuan STR dibuka sepanjang tahun bagi mengurangkan risiko keciciran, melalui portal rasmi STR di bantuantunai.hasil.gov.my.
Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi soalan lazim (FAQ) di portal rasmi STR serta portal rasmi SARA di sara.gov.my.