Skip to main content

Malaysia

Strategi keselamatan jalan raya perlu utama penunggang, pembonceng motosikal

71479031588_MotosikalGeneric.jpg
Lee menggesa pendidikan keselamatan jalan raya sepanjang hayat, bermula dari sekolah dan diteruskan di sekolah memandu, tempat kerja serta program komuniti. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penunggang dan pembonceng motosikal yang merangkumi kira-kira 66 peratus daripada jumlah kematian jalan raya mesti menjadi fokus utama dalam strategi keselamatan jalan raya negara ini, kata Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya Tan Sri Lee Lam Thye. 

Beliau berkata golongan itu harus diberikan pelan tindakan nasional khusus merangkumi laluan motosikal lebih selamat, permukaan jalan lebih baik, penambahbaikan pencahayaan, penguatkuasaan lebih tegas terhadap penunggang berbahaya serta penekanan terhadap penunggangan berhemah dan pemakaian peralatan perlindungan.

Lee juga menggesa penguatkuasaan trafik yang lebih konsisten, bersasar dan dipacu teknologi, terutamanya di lokasi kerap berlaku kemalangan.

“Pemanduan berbahaya, meluru dan laju, melanggar lampu isyarat merah serta memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah mesti ditangani dengan tegas,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

Lee berkata sasaran kerajaan, yang ditetapkan melalui Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya untuk mengurangkan kematian jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030 mesti diterjemahkan ke dalam program keselamatan jalan raya nasional yang komprehensif, boleh diukur dan berterusan.

Lee berkata jalan raya, kenderaan, had laju dan sistem lalu lintas mesti direka bentuk untuk mengurangkan tahap keterukan nahas apabila berlaku kesilapan manusia manakala jalan raya berisiko tinggi serta lokasi kerap kemalangan harus dikenal pasti melalui data dan dinaik taraf secara sistematik.

Beliau juga menggesa pendidikan keselamatan jalan raya sepanjang hayat, bermula dari sekolah dan diteruskan di sekolah memandu, tempat kerja serta program komuniti manakala majikan diseru melaksanakan dasar perjalanan selamat memandangkan jumlah nahas yang tinggi melibatkan perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja.

Penguatkuasaan yang lebih ketat, menurut beliau juga diperlukan untuk kenderaan komersial dan kenderaan berat, terutamanya mengenai had laju, kelayakan jalan raya kenderaan, tempoh bekerja pemandu dan keperluan keselamatan yang lain.

“Respons selepas nahas mesti diperkukuh. Tindakan kecemasan yang lebih cepat, kesedaran awam yang lebih tinggi tentang pertolongan cemas dan resusitasi kardiopulmonari (CPR) serta ketersediaan defibrilator luaran automatik (AED) secara meluas boleh membantu menyelamatkan nyawa,” katanya.

Lee berkata kerajaan perlu menetapkan pencapaian tahunan yang jelas ke arah sasaran 2030 supaya orang ramai dapat melihat jika kes kematian semakin berkurangan, kumpulan paling terjejas, lokasi berisiko tinggi dan langkah penambahbaikan yang telah diambil.

Beliau berkata prestasi keselamatan jalan raya juga harus diukur berdasarkan kecederaan parah, nahas yang melibatkan golongan jalan raya paling terjejas serta keberkesanan langkah penguatkuasaan serta pencegahan, dan bukannya hanya bersandarkan jumlah kematian.

“Lebih 6,000 kematian jalan raya setahun bukan sekadar statistik. Di sebalik angka itu ada nyawa manusia, keluarga dan komuniti yang terkesan akibat tragedi itu,” katanya dan menambah Malaysia mesti beralih daripada pendekatan reaktif kepada budaya keselamatan jalan raya pencegahan yang menjangka risiko dan mengelakkan kematian sebelum ia berlaku.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement