Struktur baharu akaun KWSP masih dalam kajian - Timbalan Menteri Kewangan

Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tanjong Lim Hui Ying bercakap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan masih mengkaji dan meneliti cadangan memperkenalkan struktur baharu akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang akan diwujudkan apabila pencarum mencapai umur persaraan minimum, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.
Ringkasan AI
- Kerajaan sedang mengkaji cadangan struktur baharu akaun KWSP yang akan diwujudkan apabila pencarum mencapai umur persaraan minimum, melibatkan dua komponen: simpanan fleksibel (boleh dikeluarkan bila-bila masa) dan simpanan pendapatan (diagih secara berkala).
- Cadangan ini hanya terpakai kepada ahli baharu selepas pelaksanaan, namun ahli sedia ada boleh memilih untuk menyertai kemudian; keputusan muktamad akan dibuat selepas sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.
- Tiada perubahan pada polisi pengeluaran KWSP semasa, ahli masih boleh mengeluarkan simpanan pada umur 55 dan 60 tahun; KWSP kini mempunyai 16.5 juta ahli dengan jumlah simpanan RM1.31 trilion.
"Ia (struktur baharu) akan terpakai kepada ahli baharu yang mendaftar selepas tarikh pelaksanaan sahaja. Namun, pada masa akan datang, jika telah kita laksanakan ahli yang sedia ada ingin memasuki cadangan itu juga boleh dilakukan.
"Bagaimanapun, cadangan ini sedang diteliti dan sebarang keputusan akan dibuat selepas sesi libat urus yang menyeluruh dengan pihak berkepentingan dan pertimbangan sewajarnya terhadap kepentingan jangka panjang ahli," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang bertanya mengenai langkah yang diambil kerajaan untuk melaksanakan cadangan serta meneliti semula kaedah pengeluaran simpanan KWSP.
Dalam pada itu, Lim menegaskan bahawa pada masa ini, masih tidak ada perubahan terhadap polisi pengeluaran skim KWSP semasa dengan mengekalkan pilihan pengeluaran simpanan pada umur 55 dan 60 tahun.
"Pada masa kini, ahli mempunyai fleksibiliti untuk mengeluarkan simpanan mereka secara sekali gus, secara sebahagian atau melalui bayaran berkala," katanya.
Lim juga memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan ahli KWSP adalah seramai 16.5 juta orang setakat 31 Ogos 2025, dengan jumlah simpanan sebanyak RM1.31 trilion (meningkat 9.9 peratus berbanding RM1.20 trilion pada tahun 2024; dan 20.8 peratus berbanding RM1.01 trillion pada tahun 2023).
Daripada jumlah tersebut, seramai 9.0 juta atau 55 peratus daripada keseluruhan ahli KWSP adalah merupakan ahli aktif, dengan jumlah simpanan sebanyak RM1.07 trilion.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami