Suami kepada pramugari Hamfazlin Sham Mohamed Arifin bersyukur kerana jenazah isterinya dapat disemadikan di tanah air.

Menyifatkan Allahyarham sebagai anugerah terbaik untuk mereka sekeluarga, Ahmad Tarmizi Ismail, 41, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan semua pihak yang terlibat dalam usaha membawa pulang jenazah isterinya, mangsa pesawat MH17.

Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur-Karak di Batu Muda, Gombak kira-kira 3.10 petang tadi.

Ahmad Tarmizi, pengurus sebuah cawangan Pos Malaysia di ibu negara menyifatkan isterinya sebagai isteri yang baik dan ibu yang penyayang kepada dua anak lelaki mereka Alif Hazim, 2, dan Alif Haiqal, 8 tahun.

Turut hadir pada upacara pengkebumian Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari dan Anggota Parlimen Setiawangsa Datuk Ahmad Fauzi Zahari serta rakan-rakan sekerja Allahyarham.

Jenazah Hamfazlin Sham adalah antara 20 jenazah yang dibawa pulang hari ini yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dari Amsterdam pada pukul 9.54 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke kediaman keluarganya di Wangsa Maju sebelum dibawa ke Masjid Usamah Bin Zaid untuk disolat yang diimamkan Ketua Imam masjid berkenaan, Murshidi Abdul Hamid.

Ibu Allahyarham, Hamlah Hassan, 61, berkata beliau memang berhasrat melihat jenazah anak keduanya itu dikebumikan di negara sendiri.

"Saat menanti (kepulangan jenazah) tidak boleh dilafazkan dengan perkataan. Tetapi apabila segala urusan selesai dengan sempurna, saya dan keluarga amat bersyukur," katanya.

Kedua-dua anak Allahyarham turut menabur bunga di pusara ibu mereka.

Penerbangan MH17 sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai.

Pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 298 penumpang dan anak kapal telah ditembak jatuh, namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.

Sebanyak 43 orang termasuk penumpang dan anak kapal merupakan warga Malaysia.