IPOH: Sepasang suami isteri kerugian RM32,000 apabila wang simpanan mereka dilarikan oleh dua lelaki dari bilik sewa didiami di Jalan Changkat Jong, Teluk Intan, minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa lelaki berusia 48 tahun yang merupakan tukang masak di sebuah restoran kira-kira 11.52 pagi, 8 Mac lepas.

"Mangsa menyatakan kira-kira 12.30 tengah malam 6 Mac, semasa dia dan isteri berusia 41 tahun tiba di bilik sewa, mereka telah didatangi dua suspek lelaki tidak bersenjata disyaki warga tempatan mengugut dan memaksa mangsa untuk membuka pintu bilik.

"Pada masa sama, suspek menyatakan akan mencederakan mangsa sekiranya pintu tidak dibuka. Oleh kerana mangsa dalam keadaan ketakutan, mangsa menuruti permintaan suspek.

"Setelah pintu bilik dibuka, suspek terus menggeledah bilik dan menjumpai wang tunai simpanan mangsa dan isteri berjumlah RM32,000 yang disimpan di dalam beg pakaian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata selepas suspek mendapatkan wang, suspek sempat menarik mangsa lelaki masuk ke dalam sebuah kereta, namun mangsa berjaya melarikan diri dari tempat kejadian.

Menurut Ahmad Adnan kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan semasa kejadian.

"Hasil siasatan rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian mendapati kedua-dua suspek berumur lingkungan awal 30-an, berbadan gempal serta berketinggian lebih kurang 175 sentimeter.

"Menurut mangsa, mereka tidak sempat membuat laporan polis selepas kejadian kerana panik dan takut diganggu semula oleh suspek yang sama sehinggalah mereka diarah sendiri oleh pemilik restoran tempat mereka bekerja untuk terus berbuat demikian," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan orang awam yang mempunyai maklumat tentang kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat Insp Hasryman Osman menerusi talian 05-6233969 atau 011-63319773.

-- BERNAMA