DUNGUN: Sepasang suami isteri diberkas kembali selepas disyaki cuba mencuri dan memecah tabung Masjid Kuala Abang, Dungun.

Sebelum ini pasangan berkenaan telah direman selama enam hari bermula Jumaat lepas hingga Rabu selepas disyaki memecah tabung masjid di Bandar Bukit Besi.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata suspek lelaki berusia 26 tahun dan isterinya berumur 23 tahun itu dipercayai melakukan perbuatan berkenaan di Masjid Kuala Abang pada 6 dan 8 Jun lalu.

Jelasnya kejadian itu disedari ahli jawatankuasa masjid pada Jumaat selepas memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mengesan suspek cuba memecah tabung masjid berkenaan dengan menggunakan objek keras.

Bagaimanapun, usaha kedua-dua mereka itu tidak berhasil selepas tabung itu gagal dibuka sebelum pasangan tersebut melarikan diri.

Baharudin berkata hasil ujian air mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methaphetamin.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 380 dan 511 Kanun Keseksaan.