KUALA LUMPUR:Sepasang suami isteri ditahan selepas disyaki terlibat dalam penipuan pakej penginapan hotel mewah membabitkan petugas barisan hadapan dalam serbuan di sebuah inap desa di Ampang, dekat sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa'aton Abu Bakar berkata tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang bekerja sebagai jururawat sebuah hospital kerajaan pada 13 Sept yang menjadi mangsa penipuan suspek berumur 26 dan 27 tahun itu.

Menurutnya, mangsa mengetahui mengenai iklan tawaran penginapan bermalam termasuk sarapan pagi di sebuah hotel terkemuka di Port Dickson, Negeri Sembilan dengan harga pakej RM88 hingga RM499 satu malam yang dibuat menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp.

"Mangsa telah menghubungi syarikat suspek dan ditawarkan menjadi ejen dengan komisen sebanyak 10 peratus dengan cara menyebarkan iklan pakej kepada rakan sekerjanya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di sini, hari ini.

Shafa'aton berkata mangsa turut menerima tempahan daripada 26 rakan sekerjanya dan telah membuat pembayaran lebih RM7,000 kepada akaun syarikat suspek dan diberikan resit tempahan dengan tarikh terbuka iaitu tempahan pada bila-bila masa.

Beliau berkata mangsa menyedari ditipu selepas membuat semakan di hotel terbabit dan tiada tempahan penginapan dibuat oleh syarikat suspek.

"Setakat 25 Sept, kami menerima 30 laporan membabitkan kes yang sama dengan nilai kerugian berjumlah RM26,193," katanya.

Pasangan yang tidak bekerja itu direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu.

-- BERNAMA