LUMUT: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini, hari ini, atas tuduhan gagal membekalkan baju raya kepada seorang individu, Februari lalu.

Tertuduh, Mohd Sobri Togil, 47, dan Massuwati Amran, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret T Kavita.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa secara bersama menyetujui menerima bayaran RM158 tanpa mempunyai alasan munasabah untuk mempercayai bahawa dapat membekalkan sehelai baju kurung kepada seorang individu, pada 31 Mac lalu. 

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Lumut, Sitiawan sekitar jam 4.44 petang, 13 Februari lalu. 

Suami isteri itu didakwa melakukan pelanggaran mengikut Seksyen 16(c) Akta Pelindungan Pengguna 1999 dan kesalahan di bawah Seksyen 25(1)(b) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, Mohd Sopri sebagai pemilik tunggal perniagaan Seri Kenanga Enterprise yang menjalankan perniagaan baju kurung di laman web Kenanga Apparel Store didakwa gagal mendedahkan maklumat berkaitan nombor pendaftaran perniagaan. 

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesalahan itu yang didakwa dilakukan di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Manjung sekitar jam 1.10 petang, 12 Mei lalu. 

Dia didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pelindungan Pengguna (Urusniaga Perdagangan Elektronik) 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 145(1) Akta Pelindungan Pengguna 1999.

Sabit kesalahan boleh didenda RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Mohd Sopri dijamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan manakala Massuwati dibenarkan dijamin RM5,500 dengan seorang penjamin. 

Mahkamah turut memerintahkan pasport kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan masing-masing diarahkan melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali sebulan.

Mahkamah menetapkan 15 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen.

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa aset kedua-duanya dibekukan dan turut disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya KPDN, Syazwani Zawawi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam S Dharmanathan.