Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Suami isteri terlepas hukuman mati, bebas tuduhan edar dadah

KOTA BHARU, 24 Sept " Syed Mohamad Haizat Syed Hassan, 32, dan isterinya, Nurul Syahira Zakaria, 30, berpelukan dengan ahli keluarga selepas dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 81.77 gram di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Syed Mohamad Haizat Syed Hassan, 32, dan isterinya, Nurul Syahira Zakaria, 30, berpelukan dengan ahli keluarga selepas dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 81.77 gram di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

KOTA BHARU: Sepasang suami isteri terlepas daripada hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan mengedar dadah, empat tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Mokhtar membuat keputusan itu, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh iaitu Syed Mohamad Haizat Syed Hassan, 32, dan isterinya Nurul Syahira Zakaria, 30.

Pasangan suami isteri itu didakwa bersama-sama mengedar 81.77 gram methamphetamine, kira-kira 11 pagi 20 Mac 2022, di sebuah rumah tanpa nombor di Batu 19, Jalan Bachok, Kampung Badak, Bachok.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang sekiranya sabit kesalahan, memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali, jika tidak dijatuhkan hukuman mati.

Dalam penghakimannya, Azhar berkata mahkamah antara lain mengambil kira akses terhadap rumah kedua-dua tertuduh boleh dimasuki oleh sesiapa sahaja melalui pintu dan lubang-lubang pada bahagian atas, selain dapur kediaman berkenaan.

Beliau berkata hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap jaket yang melindungi bungkusan dadah serta ujian cap jari pada bungkusan itu, tidak mengaitkan kedua-dua mereka dengan dadah yang ditemukan dalam raga motosikal Honda C70, di dapur rumah itu.

Ketika prosiding, mahkamah dimaklumkan terdapat tiga pekerja sebuah premis membasuh kenderaan berhampiran, yang sering menggunakan tandas di rumah pasangan berkenaan.

Ketiga-tiga individu itu dikatakan turut ditahan polis sebelum pasangan suami isteri berkenaan, namun kemudiannya dibebaskan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Adila Mat Zaidan manakala Syed Mohamad Haizat diwakili peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohammad serta peguam Mohd Firdaus Zainal Abidin dan Mohd Zubairi Salleh mewakili Nurul Syahira.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement