Sepasang suami isteri yang dipercayai merupakan dalang utama sindiket pemerdagangan manusia di Pengkalan Hulu, dekat Gerik ditahan reman selama enam hari oleh polis bermula pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Gan Tian Kee berkata, perintah tahanan reman terhadap kedua-dua suspek suami isteri yang masing-masing berusia 43 dan 24 tahun itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, mulai semalam (Ahad).

Katanya, seramai 18 individu warga tempatan termasuk lima kanak-kanak dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan manusia diselamatkan dalam operasi di daerah Kecil Kroh, Belukar Semang, Kampung Tasek di Pengkalan Hulu, awal pagi Ahad.

"Mangsa yang diselamatkan terdiri daripada 11 dewasa termasuk enam wanita berusia lingkungan 27 hingga 64 tahun; dua remaja lelaki berumur 13 dan 17 tahun dan lima kanak-kanak berusia antara dua dan tujuh tahun," katanya dalam satu kenyataan media di sini pada Isnin.

BACA: Polis selamatkan 18 mangsa buruh paksa ladang sawit di Perak

BACA:
Negara komited tangani isu pemerdagangan orang, penyeludupan migran - TPM

Menurut Tian Kee, kesemua mangsa kini mendapat perintah perlindungan sementara bermula hari ini sehingga 19 Mac depan dan ditempatkan di rumah perlindungan di Rembau, Negeri Sembilan; Subang Jaya, Selangor; Johor Bahru dan di Tanjung Keling, Melaka.

"Bagaimanapun, salah seorang mangsa lelaki masih menemani anaknya yang sedang mendapatkan rawatan di hospital.

"Permohonan perintah perlindungan sementara akan dilakukan selepas selesai mendapatkan rawatan," ujar beliau.

Sebelum ini, dalam serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 12.10 tengah malam Sabtu itu, polis turut merampas antaranya sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso, sebuah kereta Nissan Navara, beberapa keping kad pengenalan dan sijil kelahiran, tiga salinan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia atas nama GK Lucky City Enterprise serta 11 sampul salinan polisi insurans syarikat Etiqa Insurance.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 13 dan 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.