KUBANG PASU: Seorang lelaki maut digilis treler manakala isteri dan anaknya parah dalam kemalangan di Kilometer 16.5 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, dekat Napoh, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Rodzi Abu Hassan berkata, dalam kejadian 10.50 malam itu, mangsa yang berusia 32 tahun dipercayai membonceng skuter yang ditunggang isterinya berusia 31 tahun bersama anak lelaki mereka yang berusia empat tahun.

“Isteri mangsa mengalami kecederaan di kaki dan tangan kanan manakala anak mereka mengalami luka di kepala, tangan dan kaki kanan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di seluruh bahagian badan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Rodzi berkata, siasatan awal mendapati treler yang dipandu lelaki berusia 48 tahun bersama kelindan berusia 45 tahun dipercayai sedang bergerak dari arah Changlun menghala ke Jitra manakala pasangan suami isteri dan anak itu bergerak dari arah sama.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu treler itu cuba memotong motosikal yang dinaiki tiga beranak itu namun tiba-tiba dia menyedari telah melanggar dan menyeret motosikal serta ketiga-tiga mangsa.

Mayat lelaki yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah manakala isteri dan anaknya yang cedera dihantar ke Hospital Jitra untuk rawatan lanjut.

“Kemalangan itu menyebabkan berlaku kesesakan sepanjang dua kilometer hampir 30 minit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.