DREBAR
Subaru Forester Pemasangan Tempatan Dilancarkan – dari RM144,000



Terdapat dua varian bagi Forester CKD iaitu 2.0i dan 2.0i-P (Premium). Majlis pelancaran untuk kawasan serantau di Bangkok ini akan disusuli dengan pelancaran di Malaysia pada 14 April nanti. Mengikut pengarah eksekutif Tan Chong International, tempahan sudahpun dibuka dengan harga RM144,000 bagi varian 2.0i, dan RM154,000 bagi 2.0i-P.
Harga-harga tersebut tidak termasuk insurans, tetapi tetap menarik kerana pembeli boleh mendapatkan sebuah SUV lebih unik berbanding model-model paling popular di negara ini pada harga yang lebih kurang sama. Tambahan lagi, Motor Image memberikan potongan RM3,000 khas untuk meraikan pelancaran model ini.
Selain itu, model dengan enjin turbo 2.0-liter (Forester XT) dijual dengan harga RM199,000, tanpa insurans. Varian ini diimport terus daripada Jepun.


Ada apa pada Forester CKD?
Enjin ‘boxer’ 4-silinder 2.0-liter FB20 yang digunakan menjana 148hp pada 6,200rpm, dan 198Nm pada 4,200rpm. Kota gear pula adalah jenis CVT.
Forester pacuan semua roda (All-Wheel Drive) yang kami sempat pandu uji dari Bangkok ke Hua Hin (laporan pandu uji akan menyusul kemudian) hanya dari varian 2.0i-P dan berbeza dari 2.0i kerana, antara lain, dilengkapi SI Drive, stereng dengan butang kawalan pelbagai, cermin sisi LED, ‘paddle shifter’, ‘tailgate’ dengan motor elektrik dan ‘Hill Descent Control’.

Terdapat juga ‘Steering Responsive Headlight’ yang memastikan suluhan lampu utama jenis LED mengikut putaran stereng. Palingunik adalah ciri ‘PIN Code Access’ yang direka khusus untuk mereka yang disifatkan sebagai pembeli tumpuan model SUV ini: mereka yang gemarkan aktiviti luar.
Mereka yang gemarkan aktiviti luar tidak perlu lagi membawa kunci kereta bersama mereka; sebaliknya kunci tersebut boleh ditinggalkan di dalam kereta, selamat daripada kerosakan akibat air ataupun hentakan, ataupun hilang akibat tercicir.

Pengguna cuma perlu menetapkan kod lima digit untuk mengunci dan membuka Forester mereka setelah aktiviti mereka berakhir.
Walaupun PIN Code Access ini tidak dilengkapkan pada varian 2.0i, aspek keselamatan antara kedua-duanya langsung tidak berbeza. Beg udara hadapan, sisi, tingkap dan beg udara lutut semuanya standard, begitu juga dengan ‘Vehicle Dynamics Control System (VDC) dan palang pengukuh pintu.
[Seperti yang dinyatakan sebelum ini, laporan pandu uji akan menyusul]
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami