PUTRAJAYA: Kerajaan akan memudahkan dan memperluaskan penggunaan solar di kediaman domestik bagi menggalakkan lebih banyak isi rumah mempunyai kemudahan tenaga tersebut.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata ia salah satu usaha kerajaan bagi penstrukturan sektor tenaga daripada campuran tenaga elektrik kepada tenaga boleh baharu (TBB).

Langkah tersebut, jelas Rafizi adalah bertepatan dengan keputusan kerajaan untuk mensasarkan subsidi elektrik agar ia dikekalkan kepada kumpulan B40 dan M40.

Sementara bagi kumpulan pengguna kediaman T20 yang menggunakan elektrik pada kadar yang tinggi pula, akan mula membayar pada tarif yang lebih hampir dengan harga pasaran, ujarnya.

"Kita akan fokus melalui peruntukan untuk pemasangan solar di bangunan-bangunan kerajaan tetapi potensi solar yang lebih besar sebenar ialah di kediaman-kediaman domestik.

"Sebab itu kementerian saya dan agensi terbabit berhubung kawal selia elektrik dan solar sekarang ini sedang memuktamadkan beberapa langkah baharu seperti mana yang kita telah tumpukan dalam industri solar, langkah-langkah ini bertujuan untuk mempercepatkan pelaburan dan pemasangan kemudahan solar. Perkara sama akan dilakukan untuk kemudahan pemasangan solar di kediaman domestik.

"Pendekatan bersepadu ini, iaitu dengan memudahkan dan menggalakkan pemasangan solar kepada kumpulan isi rumah yang mampu, dijangka membantu mengimbangi kesan kenaikan tarif kepada isi rumah berpendapatan tinggi yang dianggarkan sekitar 10 peratus dari majoriti isi rumah di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan Indeks Harga Pengguna (IHP) Mac 2023.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata kerajaan telah mengumumkan beberapa dasar baharu pada bulan ini termasuk membenarkan eksport tenaga boleh baharu rentas sempadan dan peruntukan awal sebanyak RM50 juta untuk mempercepatkan pemasangan solar di bangunan-bangunan kerajaan.

Jelas beliau lagi, pengumuman seterusnya akan dibuat dalam masa terdekat adalah melibatkan langkah-langkah kerajaan mempermudahkan dan menyebarluaskan penggunaan solar di kediaman domestik.