Penantian 20 tahun pengundi di Sepang untuk seorang anak tempatan diangkat menjadi wakil rakyat dan betul-betul mewakili mereka harus ditamatkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sepang Datuk Marsum Paing menegaskan, tiada perubahan signifikan malah apa yang diharapkan daripada seorang wakil rakyat yang dipilih sebelum ini benar-benar mengecewakan pengundi.

"Mereka umpama menanti jawapan yang tidak pasti. Malah kehadiran dan kewujudan wakil rakyat Sepang sebelum ini hanya dilihat di poster dan bukannya bersama pengundi di kala susah dan senang.

"Pengundi diminta tidak lagi membuat kesilapan yang sama dengan meletakkan kepercayaaan kepada calon yang tidak memperjuang dan menyelesaikan masalah mereka.

"Pengundi Sepang perlu lebih bijak mengatur masa depan mereka dengan membandingkan calon mana yang sebelum ini sentiasa dekat di hati mereka tidak kira waktu dan ketika," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.


Marsum yang juga bekas ADUN Dengkil dan Penyelaras Parlimen Sepang akan bertembung dengan calon dari PAN, Hanipa Maidin yang sebelum ini dipilih menjadi wakil rakyat dengan tiket Pas dan Sabirin Marsono daripada Pas

Menurutnya, jika dipilih, tumpuan utama akan diberi dari segi perubahan ekonominya kerana penduduk di kawasan itu amnya bergantung kepada pendapatan di sektor pertanian.

"Ini harus diubah, kita perlu mengikuti peredaran zaman. Peningkatan ekonomi harus dibuat, kawasan di sini tidak membangun. Jadi kita perlu meningkatkan peluang perniagaan," jelasnya.