KUALA LUMPUR: Malaysia sudah cukup matang untuk menggubal undang-undang khusus bagi memastikan peruntukan pembangunan kawasan (CDF) tidak lagi dijadikan alat politik.
Pengarah Institut Asia bagi Dasar dan Libat Urus (AIPE), University of Nottingham Malaysia, Dr Tricia Yeoh berkata, CDF perlu diagihkan secara adil dan saksama tanpa mengira parti politik.
Menurutnya, amalan pengagihan CDF selama ini cenderung digunakan kerajaan Persekutuan mahupun negeri sebagai satu bentuk politik ‘carrot and stick’.
“Bila ada Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan ataupun sejajar dengan kerajaan, merekalah yang akan menerima CDF tersebut.
“Tetapi sekiranya mereka menjadi pembangkang, mereka tidak lagi menerima CDF tersebut,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Tricia menyifatkan pendekatan sedemikian sebagai model yang tidak sihat dan tidak sepatutnya terus digalakkan di Malaysia.
“Sebenarnya sudah tiba masanya supaya kita mengadakan satu akta di mana CDF itu tidak lagi mengikut politik… tidak kira sesiapa yang menjadi Ahli Parlimen sama ada dari pihak kerajaan ataupun pembangkang,” katanya.
Menurut Tricia, langkah segera yang boleh dilakukan adalah memastikan CDF diagihkan secara adil dan saksama kepada semua wakil rakyat.
Beliau turut mengimbau pendekatan ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada 2021.
Antara perkara yang dipersetujui ketika itu adalah pengagihan peruntukan secara lebih adil antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.
Bagaimanapun, Tricia berpandangan langkah lebih baik adalah memeterai prinsip pengagihan berkenaan menerusi satu akta.
Ia bagi memastikan pelaksanaannya mempunyai kuasa undang-undang dan tidak hanya bergantung kepada budi bicara kerajaan semasa.
Dalam pada itu, Tricia berkata antara halangan utama kepada penggubalan Akta CDF adalah soal kemahuan dan modal politik iaitu apabila akses kepada peruntukan dilihat boleh digunakan untuk mempengaruhi pilihan atau pendirian politik seseorang wakil rakyat.
Baginya, seseorang wakil rakyat seharusnya bebas menentukan pendirian berdasarkan prinsip dan nilai, bukannya kerana akses kepada dana.
Dalam jangka panjang, Tricia turut mencadangkan Malaysia mempertimbangkan model yang tidak lagi menjadikan Ahli Parlimen sebagai perantara dalam penyaluran dana pembangunan.
Sebaliknya, dana berkenaan boleh disalurkan terus kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan atau institusi berkaitan untuk melaksanakan projek dan bantuan kepada rakyat.
Pendekatan itu juga membolehkan Ahli Parlimen memberi lebih tumpuan kepada peranan utama mereka dalam penggubalan dasar dan undang-undang.