Skip to main content

Malaysia

Suhu dijangka lebih 40 darjah Celsius, jemaah haji Malaysia diingat jaga kesihatan, patuh peraturan

JEDDAH, 2 Jun -- Kerajaan Arab Saudi menerusi Kementerian Haji dan Umrah telah mengeluarkan larangan penuh terhadap jemaah haji daripada berjalan kaki dari Makkah ke Arafah serta berada di luar khemah semasa operasi masyair bagi musim haji 1446H/2025M susulan cuaca panas melampau_BERNAMA
Aspek penjagaan kesihatan amat penting memandangkan cuaca panas terik boleh memberi kesan serius sekiranya jemaah tidak mengambil langkah pencegahan awal. -Gambar fail

MEKAH: Jemaah haji Malaysia diingatkan supaya memberi keutamaan kepada aspek kesihatan dan pematuhan peraturan, susulan jangkaan cuaca panas ekstrem dengan suhu boleh menjangkau lebih 40 darjah Celsius, khususnya ketika kemuncak ibadah wukuf di Arafah.

Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir, berkata walaupun tiada nasihat baharu dikeluarkan setakat ini, jemaah dinasihatkan supaya sentiasa peka dan mematuhi segala maklumat serta panduan rasmi yang disampaikan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Advertisement

“Kita sentiasa menasihatkan jemaah supaya patuh kepada semua maklumat yang disalurkan oleh Tabung Haji.

“TH juga akan mengadakan taklimat demi taklimat sebagai panduan kepada jemaah bagi memastikan mereka sentiasa bersedia dan maklum dengan perkembangan terkini,” katanya kepada media di Mekah.

Menurut beliau, aspek penjagaan kesihatan amat penting memandangkan cuaca panas terik boleh memberi kesan serius sekiranya jemaah tidak mengambil langkah pencegahan awal.

Image
 Konsul Jeneral Malaysia, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir,  Jemaah Haji Malaysia
Tengku Mohd Dzaraif (kanan) berkata walaupun tiada nasihat baharu dikeluarkan setakat ini, jemaah dinasihatkan supaya sentiasa peka dan mematuhi segala maklumat serta panduan rasmi yang disampaikan oleh Lembaga Tabung Haji (TH). -Foto Astro AWANI

“Kita jangkakan suhu boleh menjangkau lebih 40 darjah Celsius terutamanya semasa hari wukuf di Arafah.

"Oleh itu, jemaah dinasihatkan supaya sentiasa minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi.

"Kesihatan yang baik akan memastikan ibadah dapat dilakukan dengan lebih selesa dan lancar, insya-Allah,” katanya.

Selain faktor cuaca, Tengku Mohd Dzaraif turut menekankan kepentingan kad Nusuk, yang merupakan dokumen wajib dan amat penting sepanjang jemaah berada di Tanah Suci.

“Kad Nusuk ini bukan sekadar pengenalan diri, malah ia adalah permit untuk memasuki kawasan dan lokasi tertentu.

“Jemaah dinasihatkan supaya sentiasa memakai dan mempamerkan kad Nusuk walaupun berada di luar kawasan penginapan,” katanya.

Beliau berkata pihak berkuasa Arab Saudi menjalankan pemeriksaan secara meluas dan berterusan di merata lokasi, termasuk di kawasan awam, dengan membuat imbasan dan semakan terhadap kad Nusuk.

“Adalah sangat penting untuk jemaah menjaga keselamatan kad Nusuk ini, memakainya sepanjang masa dan tidak meminjamkan kepada orang lain.

“Inilah satu-satunya bukti pengenalan diri dan kebenaran rasmi jemaah sepanjang berada di Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji,” katanya.

Menurut beliau, pematuhan terhadap peraturan termasuk berkaitan kesihatan dan penggunaan kad Nusuk bukan sahaja memudahkan urusan jemaah, malah membantu pihak berkuasa Arab Saudi memastikan keselamatan dan kelancaran ibadah haji secara keseluruhan.

Must Watch Video