KUALA LUMPUR: “Kami kehilangan Tok secara tidak dijangka dan sukar menerima hakikat beliau sudah tiada.”
Demikian luahan cucu Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Meera Alyanna Mukhriz, menerusi hantaran di Instagram Story, malam tadi.
Meera Alyanna Mukhriz atau mesra disapa Ally turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menghubungi beliau dan keluarga susulan pemergian neneknya.
Anak kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu berkata, pemergian insan yang disayanginya sebagai ‘Tok’ meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya dan keluarga.
Ally turut menyifatkan Allahyarhamah sebagai insan yang turut meninggalkan kesan kepada ramai pihak, berdasarkan mesej ucapan takziah yang diterimanya.
“Terima kasih sekali lagi atas kiriman mesej anda. Ia sangat bermakna buat kami. Mohon doakan Tok dalam doa anda,” katanya dalam perkongsian berkenaan.
Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.20 pagi Isnin di Institut Jantung Negara (IJN), pada usia 100 tahun.
Allahyarham yang merupakan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meninggalkan legasi panjang dalam bidang perubatan, kesihatan awam serta khidmat kemasyarakatan.