KUALA KANGSAR: Seramai 60 orang sukarelawan dan warga Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini menyertai misi bantuan banjir di Baling, Kedah bagi membantu penduduk yang terkesan di kawasan berkenaan baru-baru ini.

Program yang digerakkan pada Jumaat lalu itu bertujuan untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa, khususnya pelajar USAS yang terjejas di Kampung Pisang, Kampung Sadek dan Kampung Iboi.

Difahamkan kesemua kawasan berkenaan merupakan yang terjejas teruk akibat bencana banjir dan kepala air.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hal Ehwal Pelajar USAS, Profesor Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof berkata, kehadiran sukarelawan dan bantuan itu sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mangsa.

"Sumbangan berupa wang tunai dan kotak barang keperluan termasuk makanan, turut disumbangkan kepada lima pelajar USAS yang terjejas.

"Misi ini mendapat kerjasama anggota Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa), ahli Persatuan Anak Kedah, Majlis Kediaman Pelajar, Majlis Perwakilan Mahasiswa, barisan fasilitator USAS dan warga Bahagian Hal Ehwal Pelajar USAS,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu beliau berkata, Skuad Sukarelawan USAS telah ditubuhkan sejak 2014 dan sentiasa bersedia membantu bila diperlukan terutamanya apabila berlaku bencana alam seperti banjir.

"Kita bukan hanya ingin melahirkan golongan cerdik pandai dari segi akademik tetapi juga yang mempunyai sahsiah diri yang tinggi selaras dengan moto USAS Rahmatan Lil’Alamin - untuk melahirkan graduan yang membawa kebaikan atau rahmat ke seluruh alam," katanya yang turut mengetuai misi bantuan.

Pasukan turut disertai oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar USAS, Dr. Ahmad Zaki Hasan bergerak seawal 7 pagi dan kembali ke USAS pada jam 8 malam.

Mereka turut membersihkan Maahad Yayasan Khairiah di samping rumah-rumah pelajar yang terjejas.