Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memiliki koleksi lebih 200 tongkat pelbagai reka bentuk dan saiz.

Kenyataan di laman Facebook baginda menyebut, Sultan Ibrahim bukan sahaja gemar memasak di waktu lapang, tetapi turut mempunyai hobi mengumpul tongkat kayu.

Tongkat-tongkat kayu itu diperbuat daripada kayu cendana, giam, kayu landasan keretapi dan juga papan lantai kayu istana-istana lama.

“Ramai yang bertanya mengapa saya memegang tongkat, sebenarnya mengumpul tongkat kayu adalah hobi saya sejak dahulu lagi.

“Saya mempunyai koleksi lebih 200 tongkat kayu pelbagai rekabentuk dan saiz yang dihasilkan secara tempatan serta mempunyai lambang “SI”.

"Pada masa sama, saya juga mempunyai pelbagai koleksi ‘tongkat kuasa’,” titah baginda kepada Royal Press Office di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda juga sering meluangkan masa membersihkan tongkat-tongkat berkenaan yang disusun secara kemas serta teratur.