Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berangkat menghadiri majlis bacaan Yasin dan Tahlil sempena setahun kemangkatan anakanda baginda, Tunku Laksamana Johor Almarhum Tunku Abdul Jalil, di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.

Turut berangkat hadir ke majlis itu ialah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta adindanya Tunku Puteri Johor Tunku Tun Aminah, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga menghadiri majlis tersebut.

BACA: Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim pulang ke Rahmatullah

BACA: Rakyat, pemimpin kongsi kesedihan atas kemangkatan Tunku Jalil

BACA: 10 fakta berkenaan putera kesayangan Johor, Almarhum Tunku Jalil

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ismail Karim, Speaker Dewan Undangan Negeri Tan Sri Mohamad Aziz serta barisan exco kerajaan negeri.

Majlis itu diadakan selepas solat Maghrib yang diimamkan oleh Imam Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ustaz Mahadir Abdan Al Hafiz.

Bacaan Yasin dan Tahlil dipimpin oleh Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Shamsuddin.

Tunku Laksamana Johor Almarhum Tunku Abdul Jalil, 25, mangkat pada 5 Dis 2015 akibat kanser hati. -- Bernama