JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini bertitah tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti mana yang disebarkan dalam sekeping gambar yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Gambar yang tertera kenyataan kononnya baginda bertitah kerajaan UMNO perlu berhenti memperdayakan rakyat Malaysia dengan segala alasan dan tipu helah itu, adalah satu kenyataan palsu disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

"Ini adalah satu kenyataan palsu disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

"Rakyat diminta tidak mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan atau berita palsu yang disebarkan di dalam media sosial," titah baginda menerusi hantaran di laman Facebook rasmi.

Sultan Ibrahim turut bertitah bahawa segala kenyataan atau laporan berita berkaitan dengan baginda ataupun keluarga Diraja Johor hanya akan dikeluarkan oleh Royal Press Office (Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor) di laman sosial rasmi.