KUALA LUMPUR: Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan mengurniakan panji rejimen kepada Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dalam istiadat di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.

Penganugerahan berkenaan sebagai mengiktiraf jasa dan pengorbanan batalion berkenaan dalam mempertahankan kedaulatan bangsa dan memelihara keamanan negara.

Mengiringi baginda ke istiadat berkenaan Kolonel Yang Di-Pertua RAMD Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Turut mengiringi baginda Panglima Angkatan Tentera Melaysia Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Panglima Tentera Darat Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Pada istiadat berkenaan Sultan Sallehuddin berkenan memeriksa perbarisan dianggotai 23 pegawai dan 386 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion ke 23 RAMD diketuai oleh Lt Kol Mohd Azroi Ariffin Shah.

Baginda kemudian turut berkenan untuk menepung tawar panji-panji rejimen berkenaan sebelum memberikan tabik hormat.

Dalam istiadat berkenaan Sultan Sallehuddin bertitah, penganugerahan berkenaan adalah sebagai pengurniaan tertinggi bagi menghargai perkhidmatan dan kesetiaan yang dimanifestasikan oleh batalion kepada raja dan negara.

"Beta percaya bahawa penganugerahan yang baharu ini, akan menjadi denyut nadi kepada seluruh warga batalion untuk terus mencurahkan kesetiaan dan khidmat bakti dengan lebih cemerlang dan terbilang di masa hadapan," titah baginda.

Baginda turut menyeru warga batalion untuk sentiasa meningkatkan kesiapsiagaan keupayaan tempur, untuk mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara tercinta.

"Ingatlah, anda semua merupakan sebahagian nadi, dalam memacu tonggak kecemerlangan dan tekad rakyat, untuk menjadi bangsa yang berjaya, dalam kelangsungan menghirup udara kemerdekaan," titah baginda.

Batalion 23 RAMD merupakan batalion ke-23 dianugerahkan panji-panji rejimen daripada keseluruhan 26 batalion RAMD.

Batalion berkenaan memegang kepada pengorbanan demi cinta dan kasih sayang untuk tanah air, agama, nusa dan bangsa adalah separuh dari iman.

-- BERNAMA