Skip to main content

Malaysia

Sultan Nazrin berangkat ke program Run For Tigers: The Long Run

PUTRAJAYA, 2 Ogos -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan menyertai "Run For Tigers: The Long Run" di Taman Wetland hari ini.  Baginda yang juga penaung WWF Malaysia berkenan melepaskan peserta bagi acara larian 10 kilometer (km) dan 5 km sebelum berjalan santai serta melawat reruai konservasi dan kawasan aktiviti di padang berkenaan.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara Salim berkenan menyertai program Run For Tigers: The Long Run bersempena dengan sambutan Hari Harimau Sedunia 2026, di Padang Semarak, Taman Wetland, Putrajaya. - Gambar Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan berangkat ke program Run For Tigers: The Long Run bersempena dengan sambutan Hari Harimau Sedunia 2026, di Padang Semarak, Taman Wetland, di sini.

Berangkat sama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Keberangkatan tiba baginda berdua pada 7 pagi disambut Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin; Pengerusi Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa.

Baginda yang juga penaung WWF Malaysia berkenan melepaskan peserta bagi acara larian 10 kilometer (km) dan 5 km sebelum berjalan santai serta melawat reruai konservasi dan kawasan aktiviti di padang berkenaan.

Lebih 4,000 peserta termasuk Raja Kecil Besar Perak, Raja Azlan Muzaffar Shah serta peserta luar negara mengambil bahagian dalam program berkenaan, menjadikannya antara sambutan Hari Harimau Sedunia terbesar di negara ini. 

Program larian merupakan acara utama bersempena dengan Hari Harimau Sedunia dianjurkan WWF-Malaysia dan Maybank, sekali gus meraikan sedekad kerjasama dalam melindungi satu daripada spesies paling ikonik negara yang kini berada pada tahap kritikal terancam iaitu Harimau Malaya.

Selain daripada acara larian 5 km dan 10 km, program itu turut menampilkan pelbagai aktiviti bertemakan konservasi, pameran interaktif dan aktiviti mesra keluarga yang bertujuan meningkatkan kesedaran serta sokongan orang ramai terhadap usaha melindungi Harimau Malaya dan habitat hutannya.

Bertemakan The Long Run, acara ini mencerminkan usaha pemuliharaan jangka panjang yang memerlukan ketabahan, kerjasama dan komitmen berterusan. 

Acara ini turut memperingati ulang tahun ke-10 kerjasama antara WWF-Malaysia dan Maybank dalam menyokong usaha perlindungan, pemantauan, penglibatan komuniti serta meningkatkan kesedaran awam mengenai Kompleks Hutan Belum-Temengor.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF Malaysia, Sophia Lim berkata, walaupun Harimau Malaya masih berdepan cabaran besar, petanda awal pemulihan yang dapat dilihat ketika ini membuktikan usaha pemuliharaan dilaksanakan secara berterusan mampu membawa perubahan positif.

"Run for Tigers memberi peluang untuk kita menghargai usaha kolektif renjer, komuniti Orang Asli, agensi kerajaan, rakan kerjasama dan para penyokong yang selama ini memastikan harapan terhadap kelangsungan spesies ikonik ini terus hidup," katanya.

Disambut pada 29 Julai setiap tahun, Hari Harimau Sedunia merupakan inisiatif global bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memulihara harimau dan acara tahun ini bertemakan Roar for the Future disokong padu pelbagai sektor untuk menyelamatkan Harimau Malaya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement