KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melancarkan buku terbaharu terbitan Penerbit Universiti Malaya (UM Press) bertajuk "A Living History: Personal Reflections on The University of Malaya", di sini, pada Khamis.
Buku setebal 450 halaman itu menghimpunkan koleksi memori, pengalaman serta refleksi peribadi daripada 30 penulis, merangkumi pelbagai generasi cendekiawan, kakitangan dan alumni Universiti Malaya sepanjang lima dekad, dari 1960 hingga 2010.
Dalam titah perasmiannya, Sultan Nazrin yang juga Canselor Universiti Malaya bertitah karya berkenaan bukan sekadar penghormatan kepada institusi itu, malah menjadi rekod sejarah peribadi mengenai evolusi Universiti Malaya sehingga berkembang menjadi khazanah negara yang semakin menyerlah di peringkat antarabangsa.
"Buku ini jauh lebih daripada sekadar penghormatan kepada sebuah institusi yang disegani. Ia menyediakan rekod sejarah yang sangat peribadi mengenai evolusi universiti ini menjadi khazanah negara, di samping terus berkembang dari segi kedudukan di peringkat antarabangsa," titah Baginda.
Baginda bertitah naskhah itu turut merakam perjalanan Universiti Malaya sejak penubuhannya, termasuk pelbagai cabaran dan kejayaan yang dilalui institusi berkenaan.
"Dalam menceritakan kisah universiti ini, buku ini turut merakam perkembangan penting dalam sejarah Malaysia yang lebih luas, termasuk bagaimana institusi dan negara mengharungi dekad-dekad pembentukan berkenaan," titahnya.
Sultan Nazrin bertitah, sejak awal penubuhannya, Universiti Malaya memainkan peranan kritikal dalam melahirkan saintis, doktor, jurutera, pembuat dasar dan ahli politik terlatih yang membantu merancang serta merealisasikan pembangunan negara sejak awal penubuhannya.
Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap pencapaian ahli akademik Malaysia yang disifatkan sudah lama melangkaui jangkaan, termasuk menerusi kerjasama penyelidikan bertaraf antarabangsa seawal 1970-an.
"Negara kita yang masih 'muda' ketika itu sudah mencapai kejayaan besar dalam arena yang kompetitif.
"Ini adalah satu pencapaian luar biasa yang boleh kita banggakan," titah Baginda.
Baginda berkata buku itu turut menyentuh beberapa episod sejarah yang mencabar, termasuk kesan Dasar Ekonomi Baru (DEB) terhadap komposisi pelajar dan bahasa pengantar di Universiti Malaya, selain perubahan suasana intelektual serta wacana politik kampus selepas peristiwa Mei 1969.
Menyentuh mengenai peralihan bahasa pengantar, Sultan Nazrin bertitah, proses penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar membawa cabaran besar kepada universiti berkenaan, namun pada masa sama memainkan peranan penting dalam pembangunan UM sebagai sebuah institusi kebangsaan.
"Cabaran besar yang dihadapi dalam penggunaan Bahasa Melayu ditegaskan oleh ramai penyumbang buku ini. Namun, ia turut memainkan peranan penting dalam pembangunan universiti sebagai sebuah institusi kebangsaan, dengan bahasa ibunda majoriti mendapat tempat yang sewajarnya," titah Baginda.