IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), Datuk Wan Zahidi Wan Teh sebagai Mufti Negeri Perak yang baharu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata pelantikan Wan Zahidi adalah untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Ogos.

Menurutnya, Wan Zahidi yang berasal dari Gerik merupakan tokoh pemikir Islam yang memberikan sumbangan besar kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan serta pembangunan modal insan.

“Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Ijazah Sarjana (MA) Usul Fiqh dari Universiti Al Azhar, Mesir.

“Beliau memiliki pengalaman lebih 40 tahun dalam perkhidmatan awam dan bidang akademik khususnya dalam pentadbiran Islam dan pernah menjawat pelbagai jawatan penting.

“Antaranya, Pakar Perunding Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM), Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, Mufti Wilayah Persekutuan dan Felo Kehormat Kanan Universiti Islam Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kekosongan kerusi Mufti Negeri Perak berlaku susulan kematian penyandang sebelumnya Tan Sri Harussani Zakaria, 82 yang meninggal dunia akibat COVID-19 pada Mei tahun lalu.

Harussani telah menyandang jawatan berkenaan sejak tahun 1985 selain ada memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri mahupun persekutuan.