MALAYSIA
Sultan Nazrin rasmi bangunan Sekolah Kebangsaan Seri Serdang Sitiawan

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menandatangani plak ketika baginda berangkat merasmikan bangunan Sekolah Kebangsaan Seri Serdang, Sitiawan hari ini. - Foto Bernama
LUMUT: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan berangkat merasmikan bangunan Sekolah Kebangsaan Seri Serdang, Sitiawan di sini.
Ringkasan AI
- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan Sekolah Kebangsaan Seri Serdang di Sitiawan, yang mula beroperasi pada Januari 2023 dengan kos pembinaan RM19 juta.
- Sekolah ini menempatkan 611 murid prasekolah hingga Tahun Enam dengan 42 guru dan lima staf sokongan, mencerminkan kepelbagaian bangsa dan budaya.
- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menegaskan usaha reformasi pendidikan berterusan untuk melahirkan murid bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berakhlak, berjati diri dan berkemahiran komunikasi.
Hadir sama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Dr Mohd Azam Ahmad.
Dalam sembah ucapannya, Fadhlina berkata Sekolah Kebangsaan Seri Serdang mula beroperasi pada 13 Jan 2023 di atas tanah seluas 2.8 hektar dengan kos pembinaan sebanyak RM19 juta.
"Pada masa ini, sekolah mempunyai 611 murid dari prasekolah hingga Tahun Enam, mewakili kepelbagaian bangsa dan budaya.
"Warga pendidiknya pula terdiri daripada 42 guru yang komited serta dibantu lima staf sokongan," katanya.
Beliau berkata peningkatan bilangan murid saban tahun jelas membuktikan keyakinan masyarakat terhadap kualiti pendidikan yang ditawarkan.
Selain itu, Fadhlina berkata pembangunan pendidikan negeri yang merangkumi pelbagai aspek turut digerakkan oleh warga pendidik dan pihak pengurusan Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Jabatan Pendidikan Negeri, termasuk usaha mereformasi pendidikan meliputi dasar, pelan kurikulum serta agenda utama seperti pengintegrasian PdP alaf baharu.
"KPM senantiasa komited memastikan setiap dasar dan pelaksanaan pendidikan memberi tumpuan kepada aspek kemenjadian murid.
"Matlamat kita bukan sekadar melahirkan murid yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum, bahkan turut membentuk sahsiah terpuji, jati diri kukuh, madani serta mempunyai kemahiran komunikasi berkesan dan daya tahan menghadapi cabaran masa hadapan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami