IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berangkat menyempurnakan perasmian Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Meru Raya, di sini, hari ini.
Sultan Nazrin turut berkenan agar pusat yang reka bentuknya diilhamkan daripada seni tekat timbul benang emas itu dinamakan sebagai Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan.
Dalam titah perasmiannya, Sultan Nazrin bertitah, pusat itu bukan sekadar kompleks yang dilengkapi dengan peralatan moden dan canggih, tetapi turut dihebatkan dengan tenaga pakar dalam bidang perubatan dan kesihatan, teknologi bantuan, fisioterapi, serta terapi pekerjaan dan vokasional, bimbingan sosial dan sokongan psikologi.
“Pusat ini tidak sekadar sebuah kemudahan kesihatan, tetapi melambangkan satu penghijrahan pemikiran - penghijrahan pendekatan, merealisasikan wawasan dan hasrat negara yang mahu mencanggihkan perkhidmatan rehabilitasi dan berteknologi tinggi, diperkukuh dengan perkhidmatan yang mengutamakan nilai kemanusiaan dan menghayati nilai keinsanan.
“Pusat ini harus dilihat sebagai simbol bahawa negara menghargai setiap nyawa, setiap pekerja dan setiap keluarga, simbol musibah bukan noktah terakhir kehidupan, simbol bahawa dengan sistem yang betul, masyarakat peduli dan peluang disediakan, seseorang tidak perlu hidup atas ihsan orang lain, tetapi boleh kembali membina masa hadapan yang bermaruah,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, pusat berkenaan, yang idea pembinaannya dicetuskan oleh Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran ketika memegang jawatan Menteri Sumber Manusia pada 2018 hingga 2020 itu, memberikan harapan baharu kepada pesakit dan keluarga serta membina keyakinan baharu bahawa kecederaan bukanlah pengakhiran kepada kehidupan.
Titah baginda, pusat itu sewajarnya boleh mencanai minda pesakit dan keluarga bahawa dengan rawatan tepat, teknologi sesuai serta semangat yang tidak patah, seseorang itu mampu untuk bangkit semula.
“Bagi seorang pesakit strok, pusat ini mungkin tempat untuk membantu mereka belajar menggerakkan semula anggota, bagi pekerja yang mengalami kecederaan saraf, pusat ini mungkin tempat untuk membina semula kekuatan fizikal dan mental.
“Bagi seseorang yang mengalami kecederaan otak traumatik, pusat ini mungkin tempat untuk melatih semula daya ingatan, pertuturan dan keyakinan diri, bagi keluarga mereka, pusat ini boleh menjadi tempat untuk menyinarkan cahaya harapan,” titah Sultan Nazrin.
Baginda turut menekankan bahawa masyarakat perlu menghapus prejudis terhadap mereka yang cacat fizikal dan tampil ke hadapan membantu usaha PERKESO dengan membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang telah selesai menjalani rawatan rehabilitasi agar dapat kembali hidup berdikari.
“Usaha yang dirintis oleh PERKESO memeterai kerjasama dengan 7-Eleven untuk menyediakan program latihan bekerja pascarawatan, dengan potensi ditawarkan pekerjaan merupakan satu pendekatan strategik.
“Semoga lebih ramai pihak swasta tampil ke hadapan menawarkan program CSR (tanggungjawab sosial korporat) dengan pusat-pusat rehabilitasi PERKESO, menawarkan latihan vokasional dan menyediakan peluang pekerjaan pascarawatan rehabilitasi,” titah Sultan Nazrin.
Baginda bertitah, menjadi tuntutan fardu kifayah dan tanggungjawab setiap manusia untuk membantu meringankan tanggungan terhadap mereka yang menghadapi ujian Ilahi dan ditimpa dugaan hidup.
Sultan Nazrin bertitah, kemajuan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui tersergamnya deretan bangunan pencakar langit, jejambat yang bersimpang siur, atau pelabuhan dan lapangan terbang yang besar, atau angka pertumbuhan ekonomi yang tinggi.
“Kemajuan sebenar terletak pada keupayaan negara dan kesungguhan negara memperkenalkan dan melaksanakan program sosial untuk memelihara martabat insan, membela mereka yang lemah, dan menyediakan peluang kedua kepada sesiapa sahaja yang menghadapi nasib malang diuji dengan penyakit, kecederaan atau kehilangan upaya,” titah baginda.
-- BERNAMA